Wednesday 28 May 2008

Pelajar Further

بسم الله الرحمن الرحيم

Satu teknik dalam further pure yang baru aku belajar tadi. Sedikit sebanyak dapat mengurangkan pembaziran masa jika soalan sebegini keluar dalam paper Mei June 08.


Contoh soalan

Show that

d/dx [x(1 + x³)^-n]= -(3n-1)(1 + x³)^-n + 3n(1 + x³)^-n-1

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Kita selalu sangkut sampai sini

d/dx[x(1 + x³)^-n] = -3n(1 + x³)^-n-1 + (1 + x³)^-n

kan kan..:) ataupun mungkin aku sorang je. Xpe, nak kongsi jugak

caranya ialah dengan menggantikan = (x³ + 1) – 1

mudah la lepas tu nak dapat buktikan.
Xperlu buat partial fraction
Aku dah cuba kat beberapa lagi soalan macam ni, cara yang sama boleh digunakan.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

One...the loneliest number?

When it comes to the SAT, "one" is not the loneliest number. Truth be told, the number one seems to be everywhere on the SAT. It's a good friend of exponents and an even better friend of fractions. Considering its popularity, let's take a look at the "must knows" about the number one!

  • One multiplied by any number is that number
  • Any number divided by one is itself
  • One raised to any power is one
  • Any number raised to the first power is itself
  • One is not a prime number
  • One is greater than any fraction that is not a mixed fraction or an improper fraction
http://www.allabouttestprep.com/blog/section_wisdom/math_wisdom/

~~~~~~~~~~~~~~~

Moga bermanfaat

kalah lagiiiii


بسم الله الرحمن الرحيم

Seperti biasa, aku menggunakan masa selepas Asar untuk beriadah. Ping pong menjadi pilihan kerana permainan ini kurang menggunakan tenaga semasa bermain. Lagipun permainan ni hanya melibatkan tangan. Kaki digunakan untuk berdiri. :)

All time opponent aku sudah tentu saudara Aslam. Begitu lama memendam hasrat mengalahkan dia. Agaknya dah berbulan-bulan aku belum dapat menewaskan dia. Entah kenapa aku selalu kalah dengan dia. Mungkinkah Aslam lebih power?

Semakin banyak aku kalah dengan dia, semakin aku nak lawan dengan dia. Macam berkadar terus pulak. Semalam aku meneruskan usaha, dengan harapan dapat mengalahkan dia.hehe.. Pelbagai skill aku gunakan untuk menewaskan pemain 'liat' ni namun akhirnya keptusan tetap sama. Aku masih belum mampu mengalahkan dia. Suatu kekalahan yang membuatkan semangat kian membara. :).. Tewas dalam 5 set, best of 3 sudah cukup membuatkan aku puas sebab ianya bukan suatu kekalahan yang teruk. Betul x Azri YB?


Untuk menjadikan post ni sebagai suatu suatu yang bermanfaat, elok kiranya menyelitkan sedikit tazkirah.

Islam memang ada menyarankan umatnya beriadah. Tujuannya untuk menyihatkan badan serta dapat mengelakkan penyakit. Lagipun sebagai orang yang memikul berbagai tanggungjawab, kita memerlukan tubuh badan yang sihat untuk melaksanakan amanah Allah swt itu. Seorang daei khususnya amat perlu menjaga kesihatan diri supaya gerakan dakwah yang dilakukannya tidak tersekat-sekat dek kerana masalah kesihatan. Beriadah merupakan satu cara mendapatkan tubuh badan yang sihat.

Seperti kata Zaim petang tadi, Islam mengajar kita agar menghormati adab dan maka kerana itulah umat islam dianggap umat yang beradab dan bukan umat yang biadab. Beriadah sudah tentu ada adabnya. Seorang yang beriadah perlu put first thing first. Utamakan yang lebih penting atau dengan bahasa yang lebih skema, utamakan prioriti kita. Contohnya, ibadah khusus seperti solat itu lebih penting daripada riadah. Jadi jangan sampai riadah itu menyebabkan ibadah khusus kita terganggu seperti ketinggalan solat di awal waktu. Bermain berpada-pada, jangan sampai yang lebih penting jadi terabai.

Semasa bermain, aurat sebagai seorang Muslim wajib dijaga. Tuntutan menutup aurat terhadap kita bukanlah semata-mata ketika solat sahaja bahkan pada setiap waktu. Kita tahu dan mampu menutup aurat dengan keadaan kita sekarang, yang menentukan sekarang ini adalah antara mahu atau tidak mahu sahaja.

Komunikasi semasa bermain perlu dijaga. Perkataan yang baik harus diamalkan supaya tidak keluar perkataan yang tidak enak didengar. Andai diri sudah menutup aurat, namun perkataan yang keluar dari mulut masih berbaur maki hamun, sumpah-menyumpah dan caci-mencaci, dimana kesempurnaan adab ketika bermain. Bak kata Afiq, kita bermain bukan untuk bertanding tetapi untuk merapatkan ukhuwwah sesama rakan. Permainan yang sepatutnya berakhir dengan kepuasan dan natijah yang baik akan bertukar kepada permainan yang mencetus api kemarahan andai adab semasa bermain tidak dijaga.

Sama-samalah kita mengamalkan adab semasa bermain agar ianya dapat dikira sebagai ibadah disisi Allah swt. Jika akulah orang yang tidak mengamalkan adab ini, sangat berharap ada yang menegur.

Aslam, tunggukan kekalahan ko. :p

Akal yang cerdas lahir daripada tubuh yang sihat

Moga bermanfaat

Wassalam

Buku best...thanks Alt Thunder

بسم الله الرحمن الرحيم

Memandangkan minggu lepas aku tidak mempunyai sebarang peperiksaan, aku bertekad untuk membaca sekurang-kurangnya sebuah buku. Rasanya dah lama tak meluangkan masa membaca habis satu buku. :) Kebetulan pada suatu pagi, tak pasti Isnin atau Selasa, saudara Jpah aka Alt Thunder bertandang ke chalet aku dalam rangka lawatan free bloknya. Sambil berborak dengan Jpah, terdetik untuk meminjam bukunya bertajuk "Life is an open secret". Sebuah buku motivasi yang ditulis oleh Sis Zabrina.

Alhamdulillah sudahpun habis membaca buku tu. Walaupun buku ni menggunakan bahasa Inggeris dan dijual diseluruh dunia, Sis Zabrina begitu bijak menggunakan istilah-istilah yang mudah difahami oleh orang seperti aku(kureng sikit BI ni).


Secara ringkas berkenaan buku tersebut. Sis Zabrina mendedahkan pembaca bukunya akan 18 rahsia kehidupan yang sebaiknya dimiliki oleh setiap daripada kita. Dan kesemua 18 rahsia ini diilhamkan daripada pengalaman hidupnya bersama insan-insan terdekat dengannya. Beserta setiap rahsia kehidupan itu, Sis Zabrina menyelitkan satu cerita bagi memudahkan pembaca lebih memahami apa yang cuba dia sampaikan. Dengan memggunakan bentuk penceritaan sebagai cara penyampaian mesej, pembaca dapat menghayati buku ni secara 'santai'. :)

Lebih bagus lagi, banyak ayat-ayat Quran, hadits Rasulullah SAW dan kata-kata hikmah diselitkan semasa Sis Zabrina cuba menghuraikan setiap rahsia itu. Huraian Sis Zabrina agak simple tetapi jelas dan mudah difahami. Kebanyakan ayatnya mengajak pembaca berfikir kerana ia sangat berkait rapat dengan kehidupan kita semua.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa aku sedang mempromosikan buku ni.:) Aku ingin menyarankan kepada sesiapa yang suka membaca buku berbentuk penceritaan, yang terselit pelbagai pengajaran dan motivasi hidup, supaya dapat meluangkan masa membaca buku ni. Baca tak rugi, rugi tak baca..

Terima kasih Jpah aka Alt Thunder dengan kerelaan hati meminjamkan aku buku yang hebat ni. Setidak-tidaknya masa yang aku ada diisi dengan ilmu. :)

if you can't fly, run. if you can't run, walk. if you can't walk, crawl, but, by all means, keep moving
~Dr. Martin Luther King~

Jom baca "Life is an open secret"...

Wassalam

Tuesday 27 May 2008

Wallpaper islamic

بسم الله الرحمن الرحيم

Memang mencabar jugak kalau free semua blok. Tendency untuk tidur amat tinggi. Pagi ni mujurlah saudara Jpah datang melawat ke chalet aku. Setidak-tidaknya ada juga teman berbicara.hehe.. Banyak perkara yang sempat Jpah ajar aku pagi ni. Kalau perasan, icon sebelah URL blog ni dah berubah. Icon blogger sudah tiada, diganti dengan icon 'P'. Apakah 'P' itu? Fikir sendiri la ye. :)

Aku ingin berkongsi satu laman web yang menarik. Bagi sesiapa yang menggemari wallpaper islamic, aku sarankan untuk melayari laman web ni. Boleh tambah koleksi wallpaper islamic anda.

Lepas ni, biarlah komputer-komputer mahupun laptop-laptop di kolej ni dihiasi dengan wallpaper islamic. :) Maaflah tiada post ilmiah kali ni. Sesungguhnya aku ketandusan idea. Semoga gambar-gambar di senikehidupan.com menggembirakan pembaca.

Kepada yang akan menghadapi paper 4 kimia dan mechanics esok, all the best.
"Kejayaan dicipta oleh insan biasa yang berusaha secara luar biasa"

Wassalam

Monday 26 May 2008

Berakhirnya kelas Fizik

بسم الله الرحمن الرحيم

Sabtu lepas merupakan kelas Fizik terakhir aku di sini. Juga merupakan permulaan satu permulaan full free block aku.hehe.. Setelah hampir 2 tahun bersama kelas yang diajar oleh Puan Harlina aka Kak Ina, aku bersama 13 lagi ahli setia kelas tersebut akhirnya dilepaskan oleh Kak Ina untuk membawa diri meneruskan misi dan visi paper 4 pada 9 Jun nanti. Suatu perpisahan yang jarang berlaku dimana kelas terakhir kami diserikan dengan test paper 4.

azri tengah buat lawak

Aslam n pai

Kelas Fizik blok 2 kami ini bolehlah dianggap sebagai kelas yang paling unik diantara semua kelas Fizik kerana semua ahli kelas kami adalah pelajar lelaki, no girls. Mungkin disebabkan faktor inilah membuatkan kami begitu bebas melakukan pelbagai aksi dan reaksi tanpa segan silu sebagaimana kami perlu mengawal 'kematangan' kami di kelas-kelas lain. Senda gurau menjadi perisa kemeriahan kelas kami lebih-lebih lagi dengan kehadiran dua pelajar tajaan KPM iaitu saudara Pai dan saudara Syarif. Lawak sajian mereka berdua ditambah dengan adegan tambahan saudara Aslam dan Einstein memastikan kelas kami jarang diselubungi kesunyian. Jika semua terasa bosan, ada sahaja yang akan membangkitkan suasana ceria dengan pelbagai cara termasuklah dengan membunyikan kerusi.

hot spot

gaya seorang YB mengajar

Yang membuatkan aku begitu suka ke kelas Fizik ialah aku boleh berjalan-jalan dalam kelas walaupun semasa Kak Ina sedang mengajar. Entah kenapa susunan meja di physics lab 3 tu membuatkan aku suka 'merantau' ke tempat orang lain, ataupun memang fitrah aku suka berjalan.entahlah. Berjalannya aku dan yang lain dalam kelas ibarat perjalanan kembara mencari ilmu memandangkan kami berjalan-jalan dengan sebab ingin bertanya kepada yang lebih memahami. Boon Seonglah yang selalu menjadi sasaran persoalan susah sebelum soalan-soalan ditujukan kepada kak Ina. Budaya kami dalam kelas ini bukanlah menunjukkan bahawa kami tidak menghormati Kak Ina bahkan Kak Ina amat suka jika kami berbuat demikian untuk bertanya, lebih baik daripada diam tanpa bertanya walhal banyak perkara yang tak jelas dalam otak.

teman semeja

Kak Ina bukan sahaja telah mengajar kami ilmu Fizik bahkan dia juga berjaya memdidik kami bagaimana berakhlak sebagai seorang pelajar. Semester pertama dan kedua merupakan jangkamasa dimana kami seringkali dimotivasi oleh Kak Ina. Semuanya berkaitan bab adab-adab bersama guru, ketika belajar dan akhlak di dalam kelas. Mujurlah Kak Ina meluahkan betapa dia terasa hati dengan kelakuan kami seperti kebudak-budaan didalam kelas. Setidak-tidaknya kami terus sedar dan boleh memohon maaf. Jika dibiarkannya terbuku dalam hatinya, dimana keberkatan ilmu yang diajarkannya kepada kami selama ini.Mungkin gred A kami dapat tetapi adakah itu gred A pada pandangannya nanti. Alhamdulillah berkat nasihat membina Kak Ina dahulu, kami berubah. Mungkin tidak secara sempurna tetapi yang pastinya ada perubahan positif dalam diri kami.

aksi pai

si misteri

Dikesempatan ini, aku ingin mengucapkan terima kasih kepada Kak Ina atas segala ilmu yang telah dia curahkan kepada aku selama aku di sini walaupun dia mungkin tidak mengetahui akan kewujudan blog ini. Kepada kawan-kawan sekelas, persahabatan kita bukan di kelas sahaja,malah aku harapkan ianya kekal hingga ke akhir hayat. Pengalaman menjadi ahli kelas fizik blok 2 sesi 0708 memberi banyak pengalaman berharga buat diri. Semoga di suatu masa nanti kita kan bertemu lagi kerana ilmu.

Pai-Aslam-Aizat-Einstein-Boon Seong-Kelvin-Kamal-Bas-Anas-Syarip-Izzat-Famy-Azri YB

Semoga kita akan mendapat A dalam A Level Fizik nanti.Do our BEST

Tautlah ukhuwwah sekencang dakwah
~Jpah~

Thank You Kak Ina


Hadis Ibnu Umar r.a:
Diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda: Ketika aku sedang tidur aku bermimpi melihat sebekas susu yang dihidangkan kepadaku. Aku meminumnya sehinggalah aku dapati zatnya memasuki kuku-kuku aku, kemudian aku berikan lebihan aku itu kepada Umar bin Al-Khattab. Mereka bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana pentafsiran kamu mengenai mimpi tersebut. Rasulullah s.a.w
berkata: Itulah ilmu.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #4404,Bab Sebahagian Dari Kelebihan Umar r.a)

Succes is when you have what you want. Happiness is when you love what you have
~Micheal S Clouse~


Wassalam

Thursday 22 May 2008

Hujan

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji hanya layak bagi Allah swt. Tuhan sekalian alam, yang syahadah mahupun yang ghaib. Tuhan yang bersifat Maha Mengetahui, yang nyata dan tersembunyi sehinggakan tiada satupun yang terlepas daripada pengetahuanNya. Hatta kita sendiri kadangkalanya tidak tahu apa yang kita perlukan dalam hidup tetapi Allah tahu akan semua itu. Subhanallah.

Satu kejadian alam yang sudah lama tidak menjengah kawasan Lembah Beringin khususnya KYUEM kini telah kembali. Ketika sedang menikmati tidur yang disengajakan petang semalam, rupanya hujan turun dengan lebatnya ibarat melepaskan rindunya di bumi KYUEM. Turunnya hujan semalam menandakan berakhirnya satu 'kemarau' panjang di Lembah Beringin sehinggakan baru semalam ramai yang perasan rupa-rupanya sudah lama tanah di sini tidak dibasahi air dari langit. Lebatnya hujan semalam sehinggakan yang berpayung pun basah-basah terkena tempias hujan yang mengganas inikan pula yang bertindak 'main redah je'.



(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.
~Ali Imran-191~

Sememangnya hujan yang turun semalam merupakan satu lagi rahmat daripada Allah swt. Kenapa rahmat? kerana hujan semalam tidak mengakibatkan bencana alam seperti banjir, tanah runtuh ataupun ribut taufan. Alhamdulillah, Allah swt masih sayangkan kita semua dengan tidak menurunkan bala kepada kita walaupun saban hari kita melakukan dosa apatah lagi melihat orang membuat dosa.

Satu perkara biasa jika terdengar suara-suara keluhan yang terbit dari mulut sang manusia. Keluhan yang bermaksud tidak menyenangi turunnya hujan. Bagaikan satu masalah timbul dek kerana turunnya hujan itu. Mungkin kerana rancangan harian terpaksa dibatalkan ataupun memang tidak sukakan hujan seumur hidup.

"Ish, hujan la pulak"

Macam pernah tercakap pulak ayat ni satu masa dulu. Kadangkala ayat sebegini muncul dengan sendiri oleh kerana telah terbiasa. Bila fikir balik, ayat ni seperti merungut ketetapan yang Allah tetapkan ke atas alam ni. Siapa kita nak menyoal ketentuan Allah. MasyaAllah. Semoga dengan izin Allah, kita tidak lagi terbiasa dalam perkara sebegini. Tak mustahil jika kita terus meremehkan perkara sebegini, lama kelamaan ianya tidak lagi dianggap sebagai kesalahan.

Satu perkara yang perlu kta ingat, Jika kita tidak menyenangi turunnya hujan, jangan harapkan ianya ianya berhenti kerana di luar sana adanya insan-insan yang sudah lama menantikan hujan atas berbagai-bagai sebab. Sang petani gembira kerana hujan membantu tanamannya hidup lebih subur. Pekerja buruh yang sentiasa bermandi peluh di bawah mentari panas tentunya senang hati dengan hujan kerana dapat merasai sejuk ketika bekerja. Nikmat sebegini mungkin remeh bagi kita tetapi tidak bagi segelintir manusia.

"Kadangkala kita merungut bila Tuhan turunkan hujan, tetapi akhirnya kita sedar sebenarnya Tuhan nak beri kita pelangi yang indah"

Nikmatilah hujan. :)

Moga bermanfaat

Wassalam




Wednesday 21 May 2008

Good luck biology students


بسم الله الرحمن الرحيم


Seawal 8.30 pagi esok akan berentaplah para pelajar biologi berdepan paper 4. Semoga dapat menggunakan segala ilmu yang ditimba selama ini. Selamat menjawab diucapkan. Kepada Muadz chaletmate, jangan tidur pulak esok. :)

Good Luck, All the best


Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitunganNya

~Al-Baqarah : 202~




Tuesday 20 May 2008

KaTaK

بسم الله الرحمن الرحيم

Satu lagi cerita ingin dikongsi bersama

Katak Kalimantan berkeupayaan melompat sejauh 50cm untuk satu lompatan. Suatu hari si gila bertanya kepada seorang profesor fizik.
"Jika sungai yang lebarnya 1.25meter ingin diseberangi oleh katak kalimantan tadi, berapa lompatan yang perlu ia lakukan?"


Dengan yakinnya si profesor tadi menjawab
"Sudah pasti 2.5 lompatan. 2 lompatan untuk 1 meter manakala setengah lompatan untuk 25cm"

Si gila tiba-tiba ketawakan si profesor tadi. Dengan selamba dia berkata
"Walau apa jua keadaan katak tadi hanya akan melompat 2 kali sahaja. Lompatan pertama untuk ke dalam air, dalam air ia akan berenang kemudian lompatan kedua untuk naik ke tebing seberang sana"

Si profesor terkena.

Si gila beredar mencari mangsa baru.

~~~~~~~~~~~~~~

Pengajaran

Bukan semua teori yang kita pelajari itu tepat. Kadangkala kita perlu mengambil kira aspek realiti dalam mengaplikasi ilmu kita. Bukankah semasa belajar, kita banyak menggunakan assumption. Tiada assumption dalam dunia yang kita alami sekarang.

Fikirkanlah..

Moga bermanfaat
Wassalam

Monday 19 May 2008

Saja2

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah sudah habis 1 paper. Semoga Allah memberi kejayaan kepada kita(physics student) dalam paper tadi. Walaupun pemberat paper 5 tidaklah setanding paper4 sehinggakan ada yang mengatakan bahawa jika dapat gred U pun ada can dapat A, tetapi takkan kita nak hasil sebegitu setelah begitu lama belajar. Bukan A semata-mata yang kita cari, bahkan cemerlang setiap paper yang kita mahukan. Correct me if i am wrong :)

Kertas seterusnya untuk aku adalah Further Pure Mathematics pada 2 Jun. Banyak masa diberi untuk meningkatkan prestasi(kalo dipanjangkan umur). Semoga Allah memberi kemudahan kepada kami(pelajar further) semasa ulangkaji dan semasa menjawab nanti.

Kehadiran jemaah ke surau pada waktu subuh semakin menggalakkan. Suatu perubahan yang positif yang patut kita kekalkan. Satu bukti yang menunjukkan bahawa kita pun boleh buat. Jom ramaikan lagi kehadiran ke surau, bukan sahaja waktu Subuh malah pada waktu2 solat yang lain. Yang dah buat, kita cuba beristiqamah, yang belum lsgi, kita mulakan dari sekarang dan seterusnya beristiqamah. Allah tidak melihat natijah tetapi Allah melihat usaha yang kita lakukan.

Dikesempatan ni, aku nak minta maaf kepada semua yang membaca jika ada salah yang dah aku lakukan secara sedar ataupun tidak sedar. Mohon halal makan dan minum jika ada kalanya aku makan dan minum tanpa kebenaran. Kalau aku
ada hutang, tuntutlah daripada aku, InsyaAllah segera dibereskan. Jika ada yang sakit hati dengan aku, maafkan aku ataupun jumpalah aku face to face supaya kita boleh selesaikan.

Maafkan saya

Wassalam


Saturday 17 May 2008

Ujian?

بسم الله الرحمن الرحيم

Long weekend akhirnya tiba. Tinggal sehari lagi untuk menghadapi first paper aku dalam Exam kali ni, paper 5 fizik. Alhamdulillah hasil kerjasama Kak Ina dan kawan-kawan blok 2 dan 4, kompilasi ringkasan eksperimen past paper berjaya dihasilkan. Terima kasih kepada semua yang terlibat. Memang berguna nota sebegitu lebih-lebih lagi dalam waktu yang singkat ni.


http://www.utsc.utoronto.ca/~physsci/physics/images/physics_einstein.png


Memandangkan kita dalam mood exam sekarang, eloklah jika berbicara pasal ujian. Kalau semasa kecil dahulu, kita terbiasa mentafsirkan ujian itu sebagai 'ujian peperiksaan' semata-mata. Keadaan sekeliling membuatkan kita menafsir sebegitu. Bila balik rumah, mak dan abah akan bertanya pasal ujian, samada lulus atau tidak, sehinggakan perkara ini begitu sebati dalam kehidupan kita. Ujian dalam ertikata yang lebih luas belum hadir dalam pemikiran kita sebagai kanak-kanak.

Bila menjadi pelajar sekolah menengah, ketika ramai di antara kita mula hidup berjauhan daripada keluarga, barulah terbit tafsiran ujian yang lebih luas. Pada waktu itu kita mula melalui ujian rindukan keluarga, ujian kesakitan, ujian kehilangan tempat bergantung dan sebagainya. Dari situ kita dapat melihat kehidupan dari perspektif yang lebih luas. Jika sebelum ini kita sering menafsirkan sesuatu berdasarkan teori yang kita belajar, kini kita sudah boleh menilai berdasarkan pengalaman dan perasaan. Cara pemikiran kita juga berbeza. Ujian berbentuk peperiksaan masih kita lalui tetapi dalam masa yang sama kita menghadapi ujian hidup yang lain, yang sebenarnya lebih banyak 'mendidik' kita sebagai insan.



Tidak sempurna ujian jika tidak didahulukan dengan persiapan yang lengkap. Contoh yang dekat, diri kita sendiri. Jika peperiksaan semakin hampir, kita semakin sibuk membuat persiapan menghadapinya dengan lebih kerap membuat revision. Kita akan dianggap tidak serius jika masih bersikap sambil lewa dalam waktu kritikal seperti itu. Bilamana kita serius membuat persiapan,itu maknanya ujian itu sangat penting buat kita. Mungkin jika kita gagal dalam ujian itu, kesannya kita tidak dapat meneruskan pengajian ke luar negara. Keinginan yang tinggi membuatkan kita bersikap lebih serius. Adakah kita serius dengan ujian bentuk lain?

Selalu juga muzakkir berpesan supaya bilamana kita 'khusyuk' dengan persiapan exam, jangan kita lupa bahawa ujian bentuk lain juga akan kita hadapi. Mungkin masa inilah Allah swt hendak menguji keikhlasan amal kita selama ini. Sebelum musim exam, rajin buat amalan sunat tetapi bila sampai waktu exam, habis semua amalan sunat ditangguhkan. Sejauh mana kita mensyukuri nikmat pemberian Allah selama ini yang mungkin dengannya Allah ingin menguji tahap kesyukuran kita padaNya. Kadangkala kita sebagai manusia tidak menyedari ujian dalam bentuk sebegini dan kita melakukannya tanpa sedar. Dan kita seringkali lupa untuk membuat persiapan bagi ujian 'harian' sebegini.

Kita mempunyai matlamat yang jauh. Ujian yang sedang kita lalui sekarang, mahu atau tidak mahu, harus juga kita tempuhi untuk menuju matlamat yang jauh itu. Sama-sama kita lakukan dan laluinya dengan cemerlang. Aku bukan orang yang paling layak menulis pasal perkara ini tetapi anggaplah ini sebagai usaha aku menyampaikan peringatan buat diri dan teman-teman. Sama-sama kita meningkatkan potensi dan kualiti diri demi Islam.

Wassalam

Wednesday 14 May 2008

Semoga kita berjaya

بسم الله الرحمن الرحيم

Walaupun A level bermula beberapa hari yang lalu, baru hari ni terasa sedikit 'kehangatannya' sebab ramai yang mula berjuang hari ni, paper 3 Chemistry. Selamat berjaya kepada yang akan menduduki exam Chem. Kepada yang lain, selamat maju jaya dalam exam A level ni.

Belajar sungguh-sungguh
Jawab sungguh-sungguh

Tentunya para senior yang lain sudah mempunyai begitu banyak free block. Gunakan sebaiknya. Ramai orang yang mengharapkan kejayaan kita. Jika tidak kawan di sini, ibu bapa di rumah sudah pasti mengharapkannya.

Jika masih hendak bersikap sambil lewa, fikir dua kali.
Setiap tindakan kita masa ni bakal menentukan siapa kita di masa hadapan.

Hayati dan renungkan kata-kata Ustaz Hasrizal

Begin with the end in mind

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Strive for Glory
Good Luck to you all


Wassalam

Tuesday 13 May 2008

3 Jawapan 1 soalan

بسم الله الرحمن الرحيم

Sebuah cerita ringkas yang ingin aku kongsi bersama hasil daripada kursus MYC yang lalu.

Tiga orang tukang cat sedang sibuk mengecat sebuah rumah. Datanglah seorang menyoal ketiga-tiga tukang cat ini satu soalan yang sama. Soalannya berbunyi apa yang kamu sedang buat?

Soalan yang begitu ringkas, padat dan jelas. Namun jawapan yang diberikan oleh ketiga-tiga tukang cat tadi amat berbeza walaupun secara dasarnya sama. Tukang cat pertama menjawab dengan nada marah

"Tak nampak ke aku tengah cat rumah ni. Takkan aku tengah berjogging pulakkk".

Tukang cat kedua pula menjawab dengan selamba

"aku sedang mengecat rumah tuan aku. Siap kerja ni nanti aku kan dapat gaji untuk menyara keluarga aku".

Tukang cat ketiga menjawab dengan gembira

"Aku sedang mencantikkan rumah ini. Rumah ini akan dijadikan rumah anak yatim dan inilah yang mampu aku sumbangkan. Aku nak anak-anak yatim tu nanti dapat hidup dengan aman di sini"

http://www.buildinggreentv.com/files/u5/paint_can.jpg

Ada tiga situasi berdasarkan cerita di atas. Tukang cat pertama yang menjawab dengan marah seperti tidak menyukai kerjanya sebagai tukang cat. Kerja yang dilakukanya seakan-akan tidak ikhlas dan atas dasar terpaksa. Tukang cat yang kedua yang menjawab dengan selamba pula seperti melakukan kerja atas sebab tanggungjawab yang perlu dia tunaikan. Dia menyedari tanggungjawabnya sebagai pencari nafkah untuk keluarganya dan berusaha menunaikannya. Tukang cat ketiga yang menjawab dengan hati yang gembira seperti sangat menyukai kerjanya. Bukan sekadar sebagai tanggungjawabnya bahkan atas dasar ingin membantu orang lain. Dia ingin melihat kebahagiaan orang lain dan melakukan kerjanya dengan bersungguh-sungguh.

Kita boleh aplikasikan kisah di atas dengan kehidupan kita sebagai pelajar. Dimanakah tahap kita sekarang? Adakah kita belajar sekarang ini atas dasar terpaksa. Ataupun kita belajar sekarang ini atas dasar tanggungjawab terhadap biasiswa yang diterima semata-mata. Ataupun kita belajar kerana kita ingin memberikan sesuatu kepada keluarga,masyarakat, agama dan negara suatu hari nanti. Kita nilai semula. Jika niat kita seperti tukang cat yang ketiga, adakah kita bersungguh-sungguh belajar. Bagaimana kehadiran kita ke kelas, selalu awal ataupun lambat.

Jika kita hidup hanya sekadar untuk meneruskan kehidupan, apakah erti hidup ini. Andai kita hidup hanya untuk menerima, siapa pula yang akan terus memberi. Biarlah kita yang menjadi pemberi kerana tangan yang di atas itu lebih baik dari tangan yang di bawah. Carilah erti hidup pada memberi. Apabila seorang ibu memberi permainan kegemaran anaknya, kita saksikan si anak melonjak riang. Tetapi hakikatnya si ibu itulah yang lebih gembira tatkala dapat meraikan anaknya. Memberi bukanlah semata-mata berbentuk material tetapi kasih sayang dan nasihat itu juga merupakan pemberian.

Jika sebelum ini kita sering menjadi orang yang diraikan, usahakan supaya selepas ini kitalah yang menjadi orang yang meraikan.

Moga bermanfaat

Wassalam

Jom ke Soton

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji hanya layak bagi Allah swt

Akhirnya keluar juga pengesahan daripada pihak pengurusan Felda berkaitan pemilihan universiti pemegang biasiswanya. Dengan gaya yang bergegas aku berlari untuk ke notice board untuk mengetahui keputusan Felda terhadap universiti pilihan aku. Syukur kepadaNya kerana pilihan aku diterima. Sekarang sudah sahlah bahawa aku akan meletakkan University of Southampton sebagai firm manakala University of Sheffield sebagai insurance.


http://www.eauc.org.uk/image_uploads/southampton_uni_logo_large.jpg


Sempat juga aku melihat firm university rakan seperjuanganku nanti sebagai mechanical engineer, Idris aka Kiddo. Tempat kami sama, seperti dalam perancangan. :) Sekarang cuma perlu fokus kepada pepriksaan A level bagi merealisasikan hajat kami ke sana. Tinggi juga permintaan University of Southampton iaitu AAB namun apa boleh buat, we need to get those grades though.

Walaupun aku hanya perlu menduduki 4 paper sahaja lagi(2 fizik, 2 further), perasaan gelisah tetap ada. Mengambil keputusan untuk meneruskan further memang mencabar. Sekaranglah baru terasa tidak yakin untuk menduduki exam further. Bagi aku, soalan further ni sangat flexible. Pattern soalan begitu berbeza saban tahun. Kalau boleh jawab soalan 2006 tak bermakna boleh jawab soalan 2007. Tetapi aku tak berseorangan. Ramai lagi yang akan mengambil exam further dan peluang masih terbuka buat kami untuk terus memantapkan prestasi. Doakan..

Harapnya keputusan aku meletakkan soton sebagai firm terkandung hikmah disebaliknya. Semoga ianya yang terbaik buat aku. Allah merancang, aku juga merancang tetapi rancangan Allah itulah yang terbaik kerana dialah pencipta aku dan kita semua.

Wassalam

Monday 12 May 2008

Sahabat kita

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji hanya layak bagi Allah swt

Akhir-akhir ni, banyak kali terdengar orang memperkatakan tentang sahabat atau kawan. Tak kiralah samada pada sesi-sesi tazkirah Subuh dan Asar ataupun di chalet-chalet. Dan yang paling merasai perkara ini hanya para senior. Mungkinkah kerana teringatkan bahawa tempoh bersama kawan-kawan di sini semakin singkat justeru nilai persahabatan yang terbina selama lebih kurang dua tahun itu lebih terasa.

Jika diimbas kembali, bagaimanakah kita mendapat sahabat? Berdasarkan pengalaman yang cetek ni, persahabatan terbina melalui rakan sekelas, rakan sepermainan, rakan sekampung, rakan sekegemaran dan sebagainya. Ada yang kekal lama dan ada pula yang terkandas. Bagaimana untuk mendapatkan persahabatan yang sejati? Persoalan ini mungkin terjawab apabila kita sedar kepada apa kita sandarkan persahabatan kita.




eringat kata-kata saudara Iqtidar semasa tazkirahnya yang lalu, dia melontarkan tajuk ukhuwwah kerana Allah. Ya, andai persahabatan kita selama ini hanyalah disandarkan kepada perkara-perkara keduniaan nescaya ianya tidak akan berkekalan kerana semua makhluk itu bersifat binasa. Persahabatan yang disandarkan pada kehebatan bermain ping pong akan musnah andai sahabat itu tidak lagi pandai bermain ping pong. Begitu juga persahabatan yang disandarkan atas sebab satu tempat belajar, akan hilang jika berpindah ke tempat belajar yang lain. Jika inginkan persahabatan itu kekal dan menjadi suatu yang bermakna, sandarkanlah ukhuwwah atau persahabatan yang terjalin itu kepada Allah swt.

Sempat saudara Hazim bertanya, bagaimana untuk bersahabat kerana Allah? Bagi aku, apa yang mendekatkan diri kita kepada Allah melalui sahabat, itulah yang dimaksudkan dengan persahabatan kerana Allah swt. Saudara Aidid lantas memberi contoh seorang kawan yang bersaing dengan kawannya yang lain dalam mendapatkan keputusan yang lebih baik dalam peperiksaan. Mungkin secara lahiriahnya kita melihat betapa dengkinya kawan itu terhadap kawannya tetapi hakikatnya inilah yang disarankan oleh Allah swt yang menyuruh hambaNya bersungguh-sungguh melakukan suatu pekerjaan.

Entah berapa ramai sahabat yang dahulunya begitu rapat dengan kita seolah-olah menjauhkan diri daripada kita sekarang. Apabila tiba di tempat baru, kawan lama dilupakan, kawan baru diutamakan. Malah perkara ini menjadi kebiasaan bagi kita dan menganggap ini sebagai lumrah alam. Mungkin sekarang kita tak dapat merasai kerugian 'kehilangan' sahabat namun sedarlah suatu hari nanti kita akan merasainya jika sekarang kita bersikap acuh tak acuh dalam bersahabat.




Contoh yang dekat, di kolej ini. Kita selalu pergi makan bersama, ke surau untuk solat bersama, malah bermain bersama sahabat kita. Sehinggakan perkara sebegini begitu sebati dalam kehidupan seharian kita. Namun, dalam tak sampai dua bulan sahaja lagi, semua itu bakal disimpan menjadi kenangan seperti yang pernah kita buat selama ini. Kita akan tamat pengajian dan akan menuju ke suatu tempat belajar yang baru. Semua perkara yang biasa kita lakukan bersama sahabat di kolej ni tidak dapat lagi kita nikmatinya. Saat inilah nilai bersama sahabat itu kuat dirasai. Rasa ingin bersama sahabat muncul tatkala berseorangan di rumah ataupun sendirian di perantauan. Segala kenangan lalu cuba diingati agar memori lama tersemat kembali. Apakan daya jika perkara itu sudah berlalu. Menyesal pun sudah tidak berguna lagi.

Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).

Masa yang tinggal ni, kita gunakanlah dengan sebaiknya. Hargai sahabat kita sebagaimana kita hargai diri kita. Bukankah kita perlu menghargai orang terlebih dahulu untuk kita dihargai. Jika persahabatan yang terbina selama ini disandarkan kepada suatu yang bersifat makhluk, sama-samalah kita ubah menjadi persahabatan kerana Allah swt. Memang sukar untuk menjadikan persahabatan sebegini tetapi yakinlah yang sukar inilah yang lebih berharga disisi Allah swt. Allah tidak memandang natijah perbuatan kita tetapi yang Allah perhatikan adalah usaha yang kita lakukan dalam perbuatan kita.

Peringatan ini khas buat diri dan sahabat

Wassalam

Saturday 10 May 2008

a week in May

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji hanya layak bagi Allah swt

Minggu yang amat padat dengan aktiviti akhirnya meninggalkan kita. Bermula dengan evening With Topaz(EWT), kemudian disambung dengan aktiviti anjuran MUSCOM LailatunNisa' dan akhirnya sambutan college birthday yang ke-10. Ternyata walaupun para senior agak sibuk menyiapkan diri menghadapi peperiksaan A Level, mereka masih punya waktu untuk berhibur kerana memang itulah fitrah setiap manusia.

Aku sempat menyertai EWT walaupun tiba agak lewat. Tujuan aku hanya satu iaitu untuk menyaksikan fire eater. Poster yang dilekatkan sepanjang koridor berjaya menarik minat aku untuk menyaksikan sendiri persembahan 'makan api' secara dekat. Malang bagi aku apabila hanya sempat menyaksikannya buat masa yang singkat. Tapi tak kisahlah sebab sekurang-kurangnya sempat juga aku melihatnya secara live. Ramai lagi yang langsung tidak berkesempatan menyaksikan aksi berani itu.

Persembahan ular tidak kurang menariknya. Ular-ular yang ditampilkan membuatkan ramai yang ternganga. Kagum juga melihat aksi pakcik-pakcik di situ bermain dengan ular. Beruntung pakcik-pakcik tu mempunyai sifat berani kerana dengan keberanian mereka itu,menjadi salah satu punca mata pencarian mereka. Walaupun kerja sebegitu amat berisiko namun rasa tanggungjawab mereka tehadap keluarga menjadi nadi penggerak kepada mereka untuk meneruskannya. Inilah uniknya hubungan kekeluargaan, medan memberi tanpa berkira.

Tiada ulasan mengenai LailatunNisa' sebab aktiviti ni memang dikhususkan buat muslimat. Terdengar khabar angin mengatakan aktiviti itu sangat meriah dan acara yang dirancang amat menepati kehendak muslimat. Agaknya pihak muslimat memang menantikan malam lailatunNisa' ni kerana disitulah mereka dapat bermain-main dan bergembira tanpa kelibat muslimin.

Akhir sekali sambutan college birthday yang baru beberapa jam yang lalu berlangsung. Dengan ini genaplah 10 tahun KYUEM beroperasi. Detik ini amat bermakna khasnya buat para staff yang setia berkhidmat untuk kolej ni sejak 10 tahun yang lalu. Mr Zaidi sempat menyampaikan sebuak sajak bertajuk 'kenapa aku suka kolej aku'. Isi sajak itu begitu sinonim dengan pengalaman para pelajar walaupun Mr Zaidi merupakan seorang guru. Begitu hebat Mr Zaidi kerana dapat menghasilkan sebuah sajak sebegitu dari pandangan mata seorang pelajar. Mungkin itulah pengalaman lampau beliau yang masih segar di ingatannya.

Esok akan bermula satu lagi minggu yang mejanjikan pengalaman yang berbeza. Walaupun pengalaman mungkin berbeza, tetapi biarlah matlamat kita masih satu. Mencari keredhaan Allah swt asas perbuatan kita. Andai nafsu dan emosi seakan cuba mengawal diri, ingatlah ancaman-ancaman Allah. Sahabat jangan disakiti kelak nanti kita pula yang akan disakiti. Sama-samalah kita menjadikan minggu ini lebih baik dari minggu lepas dan hari esok lebih baik dari hari ini

Beruntunglah orang yang hari ininya lebih baik dari hari semalam
Rugilah orang yang hari ininya sama dengan hari semalam
Celakalah orang yang hari ininya lebih teruk dari hari semalam

Friday 9 May 2008

Indahnya aturan Tuhan

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji hanya layak bagi Allah swt

Banyak blok aku free hari ni. Hanya kelas fizik sahaja yang aku perlu hadirkan diri hari ni, itupun pada awal pagi tadi. Kelas statistics memang dijadualkan cuti pada setiap hari jumaat minggu pertama. Alangkah selesanya aku hari ni. :)

Dalam kelas fizik tadi, ada satu benda baru yang baru aku sedar tadi. Walaupun perkara ni sepatutnya aku sedar tetapi terima kasih kepada saudara Aizat atas pembentangannya di kelas tadi. Aizat membentangkan tajuk application iaitu Magnetic Resonance Imaging(MRI). Bagi kebanyakan pelajar fizik, tajuk ni bukanlah satu benda baru. Untuk pengetahuan, MRI adalah salah satu alat perubatan masa kini yang digunakan untuk mengkaji struktur dalam badan manusia tanpa perlu menjalankan pembedahan. Penggunaan MRI merupakan salah satu daripada non-invasive technique yang digunapakai dalam bidang perubatan masa kini. Jika nak dibandingkan dengan pembedahan, risiko menggunakan MRI amat rendah dan kadar keselamatan amat tinggi.

salah satu kegunaan MRI

Semasa khusyuk mendengar ulasan Aizat tentang prinsip MRI, iaitu tentang bagaimana MRI berfungsi, bagaimana atom-atom boleh berputar, apa syarat untuk berlakunya precession, sebab penggunaan uniform dan non-uniform magnetic field, tiba-tiba perhatian aku tertarik apabila Aizat tiba-tiba mengeluarkan ayat

"Disebabkan terdapat begitu banyak atom Hidrogen dalam badan manusia, maka MRI dapat digunakan ke atas manusia. Hidrogen merupakan antara salah satu atom yang mempunyai bilangan proton dan neutron dalam angka ganjil yang menyebabkan ianya mampu berputar dan seterusnya menepati syarat berlakunya precession."

Aku berfikir sejenak, apakan jadi jika ditakdirkan dalam badan manusia hanya terdapat sedikit atom hidrogen? Sudah tentu MRI tidak dapat digunapakai terhadap manusia. Maka rugilah salah satu daripada kemajuan teknologi perubatan yang sedia ada ini. Mungkin pembedahan akan terus menjadi pilihan utama untuk mengkaji struktur dalaman manusia dalam mengenalpasti punca penyakit dan sebagainya. Dan risiko kehilangan nyawa amat tinggi. Ternyata semua ini tidak terjadi dengan sia-sia. Indahnya ketetapan yang Allah swt turunkan ke dunia ini. Semuanya mengikut sunnatullah. Tiada yang dijadikan Allah swt itu sia-sia melainkan ada tujuan dah hikmah yang terkandung disebaliknya.

Benarlah firman Allah swt dalam Al-Quran yang berbunyi



(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.
~surah ali-Imran : 191~


Ini hanyalah salah satu bukti daripada begitu banyak kekuasaan Allah swt. Beruntunglah orang yang mempelajari biologi dan kimia pada waktu ini kerana dapat menyaksikan banyak benda yang kebanyakan orang tidak dapat melihatnya. Lumrah manusia, benda yang sering dilihat tidak mampu memberikan kesedaran kepadanya betapa Allah swt itu maha kuasa namun apabila terlihat suatu benda yang jarang dilihat, akan terbitlah sinar keyakinannya terhadap kekuasaan Allah swt.

Kita gunakanlah pancaindera yang Allah swt berikan percuma kepada kita untuk meningkatkan keyakinan kita kepada kebesaran Allah swt. Begitu banyak bukti yang Allah sediakan untuk kita mendapat keyakinan itu. Bukan kita tidak tahu tetapi cuma kita kadangkala tidak menyedari hakikat ini.

Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.
~surah al-hajj : 46~


Harapan kita semua agar ilmu yang kita pelajari selama ini bermanfaat kepada kita dan orang sekeliling kita. Mungkin kita tidak dapat melihat 'manfaat' ilmu itu tetapi yakinlah jika ilmu-ilmu itu kita salurkan kepada jalan yang tidak membawa murka Allah, nescaya ada manfaat yang akan tersebar.

Wassalam

Tuesday 6 May 2008

Prihatin

بسم الله الرحمن الرحيم

Tazkirah ringkas selepas Asar beberapa hari yang lalu menarik perhatian aku. Muzakkir pada petang itu, saudara Syafiq Special Ed telah berkongsi ilmu berkenaan prihatin terhadap masyarakat. Input yang terkandung dalam tazkirah beliau amat berkait rapat dengan kehidupan seharian kita dan amat rugilah kalau tiada langkah menyebarkan isi-isi tazkirah itu kepada orang lain yang tidak berkesempatan untuk mendengarnya secara live.

Kalau tak silap, Syafiq mendapat ilham setelah dia teringatkan segmen dokumentari popular di TV3 iaitu 360 Degree. Dalam segmen tersebut, krew rakaman 360 Degree telah melakukankan eksperimen di 4 tempat berbeza dengan satu tujuan yang sama iaitu untuk mengenalpasti tahap keprihatinan masyarakat di Malaysia terhadap masyarakat sekeliling.

Salah satu eksperimen yang dapat aku ingati adalah situasi dimana kelibat seorang yang buta matanya ingin melintas jalan raya yang agak sibuk. Sang pelakon watak si buta disuruh berdiri di tepi jalan seolah-olah memerlukan bantuan daripada orang lain untuk jalan. Secara teorinya, akan ramailah orang yang tidak keberatan untuk menolong si buta ni. Namun realitinya, alangkah sedihnya apabila begitu ramai orang yang hanya menyaksikan gelagat si buta tadi tanpa tergerak hati mereka untuk sekurang-kurangnya membantu si buta itu. Budaya tolong-menolong yang sering diuar-uarkan di kaca televisyen selama ini seolah-olah tidak memberi apa-apa kesan kepada masyarakat. Mujurlah ada seorang berbangsa Cina yang baik hati menolong si buta tadi melintas jalan raya itu.



Tiga lagi eksperimen yang dilakukan di tempat berbeza pada dasarnya sama seperti yang dilakukan di jalan raya tadi. Jadi tak perlulah aku untuk menceritakan yang lain itu. Setelah adegan-adegan 'biasa' itu disaksikan, maka terbitlah satu konklusi yang sepatutnya kita ambil pengajaran.


"Dalam situasi dimana ada ramai orang, tahap keprihatinan manusia terhadap masyarakat amat kurang. Apabila ada orang memerlukan bantuan atau pertolongan, ramai yang menunggu orang lain untuk bertindak dahulu. Jika ini berlaku ramai yang akan memilih untuk mengutamakan kepentingan diri"


Seeloknya kita ambil iktibar daripada kenyataan ini. Walaupun tidak semua orang seperti yang dinyatakan tetapi perkara seperti itu masih berlaku. Mungkin kita secara sedar atau tidak sedar selama ini telah bersikap lebih mementingkan diri sendiri dan mengabaikan pertolongan terhadap orang lain. Bak kata ustaz Hasrizal, belajarlah memahami orang lain sebelum kita difahami. Dan dalam kita nak memahami orang lain, keprihatinan itulah yang memainkan peranan. Jika kita ternampak kawan kita terjatuh longkang, adakah kita ketawa dahulu ataupun kita terus pergi menolong dia? Jika kawan kita kelihatan memerlukan bantuan, adakah kita membantunya ataupun kita hanya pandai berkata-kata dan membiarkan orang lain yang menolongnya? Secara tidak langsung, tindak tanduk kita seharian mencerminkan keprihatinan kita. Bilamana kita mampu memahami orang lain, maka barulah kita layak untuk difahami.

Memahami yang disertakan dengan tindakan yang wajar

"Aku nak berubah"

Inilah keazaman yang patut kita ada sekarang jika selama ini kita lebih mengutamakan hal peribadi daripada cuba bersikap prihatin terhadap orang lain. Berubah dalam erti kata perubahan positif yang bukan sahaja merangkumi keprihatinan terhadap masyarakat bahkan terhadap diri, agama, keluarga, bangsa dan negara. Mulakan perubahan terhadap diri sendiri dahulu barulah perubahan itu akan tersebar kepada orang lain. Pernah suatu hari, mother Theresa disoal oleh seorang wartawan tentang tips untuk mencapai keamanan sedunia. Dengan spontan beliau menjawab

"Go back to your home and love your family"

take your time to think about this

Yang menulis ini hanya menyampaikan. Bukan semua yang ditulis ni diperoleh daripada tazkirah petang tersebut tetapi ada yang ditambah mengikut keselesaan penulis.hehe..Tetaplah ambil yang baik-baik dan yang buruk itu kita sama-sama jadikan sempadan.

Wassalam

Monday 5 May 2008

Kenapa Peluru

بسم الله الرحمن الرحيم

Untuk post kali ini, atas permintaan saudara Azri YB tempoh hari, aku ingin berkongsi perihal mengapa aku sering menggunakan gelaran peluru@bullet. Entah kenapa secara tiba-tiba ramai pula yang mengajukan soalan ini kepada aku. Mungkinkah selama ini aku tidak dipedulikan?haha..hanya tuhan yang tahu.

Sebenarnya perkataan peluru itu menjadi peringatan buat diri aku semasa menjadi pelajar sekolah menengah di Saina ataupun SEPOSEN. Sebagai seorang anak muda yang baru keluar dari kepompong Pulau Langkawi ke sebuah tempat bernama Pokok Sena, perbezaan keadaan persekitaran khususnya budaya pelajar telah banyak mengubah diri aku. Aku mula bergaul dengan budak-budak 'bandar' dan berbagai-bagai budaya baru telah disatupadukan dalam diri aku. Kehadiran bermacam-macam bentuk hiburan seperti komik,game dan internet telah melalaikan aku. Apa tidaknya, sebelum itu aku begitu jarang sekali berpeluang melakukan semua itu.

Nak dipendekkan cerita, antara hiburan yang berjaya melalaikan aku pada waktu itu adalah game. Aku antara orang paling aktif bermain counter strike dalam kalangan batch aku. Tidak cukup bagi aku jika hanya dapat bermain CS selama sejam. Sekurang-kurangnya mesti guna tiga jam. Itulah pendirian aku masa itu. Dalam keghairahan bermain CS bersama rakan-rakan yang lain, mereka dapati bahawa aku sering menggunakan nama samaran pelurusesat. Dari situlah salah seorang rakan aku mula memanggil aku sebagai peluru. Mungkin kerana bidikan aku tepat ke arah musuh dan team musuh aku sentiasa kalah. :)



Masa terus berlalu sehinggalah aku melangkah ke tingkatan 4. Ramai dikalangan rakan aku yang sebelum ini kerap bermain CS bersama aku mengundur diri kerana tekanan pelajaran yang mendesak mereka menumpukan lebih perhatian. Aku tidak terkecuali. Aku mula sedar betapa selama ini begitu banyak masa yang telah aku bazirkan untuk 'berhibur'. Malah jika dihitung, jumlah wang yang telah aku habiskan semasa bermain game begitu banyak sehinggakan melebihi jumlah yuran SPM yang perlu aku bayar. Dari situ terbitlah satu keinsafan yang mengubah diri aku. Aku mula mengurangkan kekerapan bermain game. Jujurnya, memang aku tak mampu untuk terus berhenti bermain game especially CS pada waktu itu kerana itulah sumber hiburan aku. Untuk menjadi motivasi buat diri, aku tidak membuang gelaran peluru begitu sahaja malah terus menggunakan gelaran itu dengan harapan perkara yang sama tidak aku ulangi.

Nasihat aku kepada penggemar-penggemar game, cubalah kurangkan kekerapan kita bermain game kerana tidak banyak manfaat yang akan kita dapat dengan cara itu. Aku akui game seperti Red Alert, Warcraft mahupun Winning Eleven mampu menguji kebijaksanaan kita dalam mengatur strategi namun berbaloikah menghabiskan begitu banyak masa semata-mata untuk tujuan itu sedangkan begitu banyak lagi cara yang ada untuk mencapai matlamat yang sama. Ops, jangan salah faham, aku bukan mengajak kita supaya berhenti daripda bermain game tetapi cukuplah bermain game sekadar untuk menghiburkan hati sekali-sekala. Ada orang yang mampu berhibur hanya dengan bermain game dan ada pula orang yang perlu bermain game untuk menyelesaikan suatu masalah. Hendaklah diingat bilamana kita menghiburkan diri, jangan sampai kita lupakan tanggungjawab kita. Yang utama patut kita utamakan dahulu tidak kira terdesak macammana sekalipun kita untuk berhibur.

Berhibur tiada salahnya
Kerna hiburan itu indah
Hanya pabila salah memilihnya

Membuat kita jadi bersalah


Semoga pengalaman lepas diri aku ini memberi manfaat kepada yang setia membaca. Jika ada kandungan cerita di atas menyinggung perasaan sesiapa, maaf aku pinta. Yakinlah bahawa ujian-ujian yang Allah swt berikan kepada kita semuanya adalah untuk kebaikan kita juga. He knows the best for us!

Wassalam

Sunday 4 May 2008

Oh Ibu

بسم الله الرحمن الرحيم

Sebuah kisah benar yang ingin dikongsi
oleh seorang teman...

Handphoneku berbunyi. Kubaca mesejnya. Dari kakakku. Duan, mak masuk wad

Duan, pergi kedai jap, beli ayam”, jerit seorang ibu kepada anaknya dari dapur.

"Arrrrghhhh...Mak tak nampak ke orang tengah buat kerja ni. Suruh lah Farez". Aku terus menyambung kerjaku. Kemudian aku terfikir, wajarkah aku bersikap kemudian? Lantaran itu, aku terus ke dapur untuk membuat apa yang disuruh. Selepas menerima wang dari ibuku, aku memecut motor ke kedai. Perasaanku ketika itu berbaur sama ada ikhlas menolong ibuku ataupun terpaksa melakukannya atas dasar tugas anak terhadap ibunya.

Ketika teringat peristiwa ini, perasaanku berbaur. Aku menjadi sedih. Apa yang aku telah buat. Teringat satu ayat di dalam al-quran yang berbunyi


Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

~surah Al-Isra’,ayat 23~

Ketika membaca ayat ini, saudara Famy telah menerangkan kepadaku sedikit sebanyak perihal ayat ini.Mengucapkan kata ”ah” kepada ibu bapa tidak dibolehkan dalam agama, apalagi mengucapkan kata-kata atau memperlakukan mereka dengan lebih kasar daripada itu.Apatah lagi kata saudara Famy, contohnya bila someone sayang akan laptopnya, bila ada virus attack laptopnya dia akan merawatnya. So, begitu lah juga dengan ibu bapa kita. Mungkin orang tidak sedar bahawa bila kita sayang kat mereka kita akan buat apa yang disuruhnya selagi tidak melanggar perintah agama. Dengan erti kata lain, kita hendaklah sentiasa prepare apabila berdepan dengan tuntutan tanggungjawab ini. Menderhakai ibu bapa adalah salah satu dosa besar selepas syirik.

Sekarang ibuku terlantar di hospital akibat penyakit tibi dan masih tidak dibenarkan pulang walaupun hampir seminggu ditahan. Aku yang cuba menghubungi ibuku masih gagal kerana ketiadaan orang di sisi ibuku. Ayah aku hanya mampu melawatnya selepas tamat waktu kerja. Aku benar-benar berharap agar dapat melihat ibuku kembali sihat seperti dulu. Aku sentiasa doakan. Mujurlah keadaan ibuku tidak terlampau parah.


Moga sesiapa yang masih mempunyai ibu dan ayah menghargai keduanya. Ingatlah jasa mereka. Janganlah menderhakai meraka terutama ibu kita. Sesungguhnya syurga di bawah telapak kaki ibu. Ya Allah, Ya Rabb, sihatkanlah ibuku kembali kerana kuingin mendakapnya selepas selesai perjuanganku di sini. Kuingin memohon ampun dan kuingin kucup dirimu.Marilah kita bersama-sama berjasa dalam berbakti kepada kedua ibu bapa kita, dan janganlah kita berputus doa terhadap ibu bapa kita dalam sehari.Dan bersedialah dalam melakukan suruhan mereka dan meninggalkan larangan mereka. Moga kita tergolong dalam anak yang soleh.

*atas permintaan sahabat aku, namanya akan dirahsiakan.

Wassalam

Saturday 3 May 2008

Pengisian waktu cuti

بسم الله الرحمن الرحيم

Suasana pagi watu cuti ni amat nyaman dan dingin. Walaupun ramai yang pulang menemui keluarga, kepulangan mereka tidak dirasai sangat kerana ramai juga yang memilih untuk stay di kolej. Ada yang tak balik sebab nak study. Ada pula yang tak balik disebabkan jarak perjalanan yang jauh. Kepada yang berada di rumah, hargailah masa yang anda ada di rumah untuk bersama-sama keluarga. Peluang sebegini jarang kita perolehi terutamanya selepas melepasi zaman sekolah rendah dahulu. Betul tak? Kepada yang tidak pulang, kita sentiasalah berdoa agar diberi peluang dapat bertemu keluarga pada waktu mendatang.

Aku pula tergolong dalam kalangan yang memilih untuk stay di kolej. Sebabnya rumah aku agak jauh dari sini dan tidak berbaloi cuti 4 hari ni jika aku pulang ke rumah. Bukan sebab tidak berhasrat bertemu dengan keluarga namun ada faktor lain lagi yang aku rasa tidak perlu untuk dijelaskan.hehe..Lagipun,siapa yang tidak mahu berjumpa dengan keluarga sendiri especially bertemu ibu bapa? Sungguh bertuah orang yang dapat pulang ke rumah kerana dapat menikmati masa bersama ibu bapa yang bagi aku dapat memberi ketenangan bagi jiwa yang resah. Chemistry ibu bapa dengan anak memang unik. Entah kenapa banyak masalah dirasakan lenyap apabila bersama-sama mereka. Hanya doa yang mampu aku panjatkan untuk keluarga aku di rumah. Semoga mereka semua dalam keadaan selamat dan dijauhi bencana.

Pada sesi tazkirah subuh semalam, saudara Iwan membicarakan soal kematian. Mati itu suatu perkara yang pasti akan dialami oleh setiap makhluk kerana sifat makhluk adalah binasa. Hanya Allah swt sahajalah yang kekal selamanya. Tiada permulaan dan tiada pengakhiran. Kita dikira bertuah kerana masih lagi diberikan peluang oleh Allah swt untuk terus hidup pada hari ini. Namun dalam kita menikmati hidup yang indah ini, jangan kita lupa bahawa kematian itu sentiasa dekat dengan kita. Imam Al-Ghazali pernah berkata bahawa yang paling dekat dengan kita adalah MATI.


Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.


Begitu ramai manusia pada masa kini melupakan soal mati yang pasti itu apabila diberi nikmat dunia yang sementara. Hiburan yang melalaikan menjadi kebiasaan dalam kehidupan. Kehidupan beragama seringkali diabaikan dan tidak dipedulikan. Jika datang pendakwah menyampaikan seruan dakwah, pelbagai ragam yang diberi. Malah, sampai begitu berani mencaci-caci orang yang berniat mulia itu. Kehendak syaitan dan iblis dituruti, membiarkan akal dan iman tunduk kepada emosi dan nafsu.

Ada sesetengah orang yang berpendapat bahawa jika kita terlalu memikirkan soal mati,manusia tidak akan berkembang maju. Perkembangan minda disekat dan motivasi manusia untuk menikmati hidup akan menjadi lemah. Benarkah begini? Tanya dada tanya iman.

Saudara Iwan ada mengeluarkan satu hadis Rasulullah saw tetapi aku tak dapat mengingatinya. Yang pasti hadis tersebut berkisar tentang s
aat sakaratulmaut dimana manusia 'bertarung' menghadapi mati.

Sakaratulmaut merupakan turning point yang menentukan samaada kita bakal mengecap kebahagiaan abadi ataupun kesengsaraan yang abadi.
~majalah anis 07~


Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah. Moga ayat ini menjadi pedoman buat kita semua dalam mempraktikkan ilmu yang kita ada. Biasanya, orang akan mementingkan kualiti berbanding kuantiti tetapi dalam islam, kuantiti menjamin kualiti. Fikir-fikirkanlah.

Wassalam


Thursday 1 May 2008

Revealed

بسم الله الرحمن الرحيم

Setelah hampir 13 hari blog ini dirahsiakan terutamanya daripada saudara Jpah(tok guru),afiq,kerol dan Anas, hari ini aku membuat keputusan untuk tidak merahsiakannya lagi. Memang lama aku berfikir untuk bertindak begini memandangkan aku bukanlah orang yang berkeyakinan tinggi.hehe.. Kepada tok2 guru blogger, terima kasih kerana telah memberi tunjuk ajar kepada aku especially saudara Jpah dan saudara Zaim.

gambar hiasan

Kepada yang datang melawati blog ni, dialu-alukan memberi komen jika ada kesilapan. Sebagai manusia, tak mungkin aku dapat lari dari kesilapan. Dan dengan peringatan itulah yang dapat membetulkan kesilapan dan kekurangan yang timbul.

Harapan aku semoga ada yang akan mendapat manfaat daripada blog ni.

Wassalam