Showing posts with label Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Motivasi. Show all posts

Tuesday, 5 May 2009

Susah senang

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam

"Begitu susah mendapatkan apa yang kita mahukan namun begitu mudah untuk melepaskannya. Oleh itu belajarnya menghargai daripada hanya menikmati"

Ayat penuh makna di atas aku ambil dari kata-kata seorang kawan di Saina. Kalau dihayati ayatnya, begitu dalam maksudnya. Tetapi bukan susah untuk memahaminya. Betul kan?

Sebagai pelajar, kita memang sentiasa inginkan kejayaan. Kalau boleh, nak score sehabis baik untuk setiap exam. Kalau boleh nak sentiasa jadi top student dan disayangi cikgu-cikgu. Tetapi, mudahkah mendapatkan kejayaan itu?

Sebelum kejayaan itu dicapai, banyak usaha perlu dicurahkan. Banyak tenaga perlu dihabiskan. Banyak wang perlu dibelanjakan. Bahkan ada banyak lagi yang perlu kita korbankan. Maknanya bukan senang nak berjaya ni. Ianya susah dan perlukan usaha berterusan.

Tetapi bila kita nakkan kegagalan(nauzubillahi min zalik), senang kan? Hanya perlu menjadi malas. Kita abaikan semua nasihat dan tips cikgu. Boleh main-main dan sebagainya. Begitu mudahnya untuk gagal. Tak sesusah nak berjaya.

Bila dah berjaya, mungkin kita boleh menikmatinya. Tetapi bila gagal, boleh ke kita nak nikmatinya? Mungkin sebab ni dalam ayat kedua, kawan aku ajak kita belajar menghargai daripada hanya menikmati.

Kita boleh menghargai kejayaan dengan kita cuba untuk istiqamah dengannya. Kita juga boleh menghargai kegagalan sebagai satu cabaran untuk kita meningkatkan usaha selepas itu untuk mencari kejayaan. Jika hanya dinikmati, tak mustahil kejayaan yang kita peroleh itu akan terlepas.

Bila kita mula menghargai, maka rasa kasih akan hadir. Kita akan rasa sedih jika kita kehilangan benda/perkara yang kita hargai. Sekurang-kurangnya, menghargai sesuatu itu menjadi tanda syukur kita. Tatkala diberi nikmat kita bersyukur, dan apabila diuji musibah kita bersabar. Bukankah ini sifat orang mukmin?

http://farm4.static.flickr.com/3078/3160797795_2f323f6645.jpg?v=0

*dah lama tak menulis. Ayat pon tak power.hehe..

Moga bermanfaat

Wassalam

Thursday, 22 January 2009

Panahan Mechanics

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam

"Maka nikmat tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan"
Surah Ar-Rahman

Alhamdulillah, seinfiniti kesyukuran kita lafazkan kepada Allah swt atas segala nikmatNya ke atas kita.

Pada waktu ini, sudah 75% peperiksaan semester 1 telah aku lalui. Bermula dengan Properties of Materials, kemudian Mathematics dan semalam Mechanics of Solids. Tinggal lagi 1 paper yang menanti pada minggu depan iaitu Thermodynamics. Moga Allah mempermudahkan urusan kita semua.

Peristiwa mechanics semalam betul2 menyedarkan diri. Mungkin bukan aku sahaja yang sedar, bahkan rakan2 lain yang turut berada dalam situasi seperti aku sudah mula sedar.

"Do the best and Prepare for the worst"


Ayat ni mungkin biasa kita dengar atau baca. Tapi semalam aku betul2 terkena. Persiapan yang tidak berapa kemas dan terancang sejak bermulanya semester pertama di sini memberi kesannya semalam. Mujurlah Allah tunjukkannya seawal semester pertama ini agar pengajarannya dapat dibawa hingga ke tahun akhir nanti.

Dalam apa jua yang kita lakukan, selagi tidak melanggar syariat, lakukanlah dengan bersungguh-sungguh. Biarpun kita hanya seorang tukang sapu, sapulah dengan bersungguh-sungguh.

"Allah menyukai orang yang apabila dia melakukan suatu pekerjaan, dia lakukan dengan bersungguh-sungguh"

http://www.ochshorndesign.com/writings/buckling/equation01.jpg

Buckling load equation


Buat sungguh-sungguh untuk menjadi yang terbaik. Jika tidak dapat menjadi yang terbaik, buatlah sehabis baik buat diri.

Pada masa yang sama, buat persiapan menghadapi sebarang kemungkinan. Takut-takut ada paku di pertengahan jalan.

Biarlah memori semalam menjadi batu loncatan untuk mempertingkatkan potensi diri. =)

Harus buat sehabis baik untuk last paper, Thermodynamics. Nak balance balik markah yang mungkin hilang. =)

Wassalam

Tuesday, 20 May 2008

KaTaK

بسم الله الرحمن الرحيم

Satu lagi cerita ingin dikongsi bersama

Katak Kalimantan berkeupayaan melompat sejauh 50cm untuk satu lompatan. Suatu hari si gila bertanya kepada seorang profesor fizik.
"Jika sungai yang lebarnya 1.25meter ingin diseberangi oleh katak kalimantan tadi, berapa lompatan yang perlu ia lakukan?"


Dengan yakinnya si profesor tadi menjawab
"Sudah pasti 2.5 lompatan. 2 lompatan untuk 1 meter manakala setengah lompatan untuk 25cm"

Si gila tiba-tiba ketawakan si profesor tadi. Dengan selamba dia berkata
"Walau apa jua keadaan katak tadi hanya akan melompat 2 kali sahaja. Lompatan pertama untuk ke dalam air, dalam air ia akan berenang kemudian lompatan kedua untuk naik ke tebing seberang sana"

Si profesor terkena.

Si gila beredar mencari mangsa baru.

~~~~~~~~~~~~~~

Pengajaran

Bukan semua teori yang kita pelajari itu tepat. Kadangkala kita perlu mengambil kira aspek realiti dalam mengaplikasi ilmu kita. Bukankah semasa belajar, kita banyak menggunakan assumption. Tiada assumption dalam dunia yang kita alami sekarang.

Fikirkanlah..

Moga bermanfaat
Wassalam

Tuesday, 13 May 2008

3 Jawapan 1 soalan

بسم الله الرحمن الرحيم

Sebuah cerita ringkas yang ingin aku kongsi bersama hasil daripada kursus MYC yang lalu.

Tiga orang tukang cat sedang sibuk mengecat sebuah rumah. Datanglah seorang menyoal ketiga-tiga tukang cat ini satu soalan yang sama. Soalannya berbunyi apa yang kamu sedang buat?

Soalan yang begitu ringkas, padat dan jelas. Namun jawapan yang diberikan oleh ketiga-tiga tukang cat tadi amat berbeza walaupun secara dasarnya sama. Tukang cat pertama menjawab dengan nada marah

"Tak nampak ke aku tengah cat rumah ni. Takkan aku tengah berjogging pulakkk".

Tukang cat kedua pula menjawab dengan selamba

"aku sedang mengecat rumah tuan aku. Siap kerja ni nanti aku kan dapat gaji untuk menyara keluarga aku".

Tukang cat ketiga menjawab dengan gembira

"Aku sedang mencantikkan rumah ini. Rumah ini akan dijadikan rumah anak yatim dan inilah yang mampu aku sumbangkan. Aku nak anak-anak yatim tu nanti dapat hidup dengan aman di sini"

http://www.buildinggreentv.com/files/u5/paint_can.jpg

Ada tiga situasi berdasarkan cerita di atas. Tukang cat pertama yang menjawab dengan marah seperti tidak menyukai kerjanya sebagai tukang cat. Kerja yang dilakukanya seakan-akan tidak ikhlas dan atas dasar terpaksa. Tukang cat yang kedua yang menjawab dengan selamba pula seperti melakukan kerja atas sebab tanggungjawab yang perlu dia tunaikan. Dia menyedari tanggungjawabnya sebagai pencari nafkah untuk keluarganya dan berusaha menunaikannya. Tukang cat ketiga yang menjawab dengan hati yang gembira seperti sangat menyukai kerjanya. Bukan sekadar sebagai tanggungjawabnya bahkan atas dasar ingin membantu orang lain. Dia ingin melihat kebahagiaan orang lain dan melakukan kerjanya dengan bersungguh-sungguh.

Kita boleh aplikasikan kisah di atas dengan kehidupan kita sebagai pelajar. Dimanakah tahap kita sekarang? Adakah kita belajar sekarang ini atas dasar terpaksa. Ataupun kita belajar sekarang ini atas dasar tanggungjawab terhadap biasiswa yang diterima semata-mata. Ataupun kita belajar kerana kita ingin memberikan sesuatu kepada keluarga,masyarakat, agama dan negara suatu hari nanti. Kita nilai semula. Jika niat kita seperti tukang cat yang ketiga, adakah kita bersungguh-sungguh belajar. Bagaimana kehadiran kita ke kelas, selalu awal ataupun lambat.

Jika kita hidup hanya sekadar untuk meneruskan kehidupan, apakah erti hidup ini. Andai kita hidup hanya untuk menerima, siapa pula yang akan terus memberi. Biarlah kita yang menjadi pemberi kerana tangan yang di atas itu lebih baik dari tangan yang di bawah. Carilah erti hidup pada memberi. Apabila seorang ibu memberi permainan kegemaran anaknya, kita saksikan si anak melonjak riang. Tetapi hakikatnya si ibu itulah yang lebih gembira tatkala dapat meraikan anaknya. Memberi bukanlah semata-mata berbentuk material tetapi kasih sayang dan nasihat itu juga merupakan pemberian.

Jika sebelum ini kita sering menjadi orang yang diraikan, usahakan supaya selepas ini kitalah yang menjadi orang yang meraikan.

Moga bermanfaat

Wassalam

Tuesday, 6 May 2008

Prihatin

بسم الله الرحمن الرحيم

Tazkirah ringkas selepas Asar beberapa hari yang lalu menarik perhatian aku. Muzakkir pada petang itu, saudara Syafiq Special Ed telah berkongsi ilmu berkenaan prihatin terhadap masyarakat. Input yang terkandung dalam tazkirah beliau amat berkait rapat dengan kehidupan seharian kita dan amat rugilah kalau tiada langkah menyebarkan isi-isi tazkirah itu kepada orang lain yang tidak berkesempatan untuk mendengarnya secara live.

Kalau tak silap, Syafiq mendapat ilham setelah dia teringatkan segmen dokumentari popular di TV3 iaitu 360 Degree. Dalam segmen tersebut, krew rakaman 360 Degree telah melakukankan eksperimen di 4 tempat berbeza dengan satu tujuan yang sama iaitu untuk mengenalpasti tahap keprihatinan masyarakat di Malaysia terhadap masyarakat sekeliling.

Salah satu eksperimen yang dapat aku ingati adalah situasi dimana kelibat seorang yang buta matanya ingin melintas jalan raya yang agak sibuk. Sang pelakon watak si buta disuruh berdiri di tepi jalan seolah-olah memerlukan bantuan daripada orang lain untuk jalan. Secara teorinya, akan ramailah orang yang tidak keberatan untuk menolong si buta ni. Namun realitinya, alangkah sedihnya apabila begitu ramai orang yang hanya menyaksikan gelagat si buta tadi tanpa tergerak hati mereka untuk sekurang-kurangnya membantu si buta itu. Budaya tolong-menolong yang sering diuar-uarkan di kaca televisyen selama ini seolah-olah tidak memberi apa-apa kesan kepada masyarakat. Mujurlah ada seorang berbangsa Cina yang baik hati menolong si buta tadi melintas jalan raya itu.



Tiga lagi eksperimen yang dilakukan di tempat berbeza pada dasarnya sama seperti yang dilakukan di jalan raya tadi. Jadi tak perlulah aku untuk menceritakan yang lain itu. Setelah adegan-adegan 'biasa' itu disaksikan, maka terbitlah satu konklusi yang sepatutnya kita ambil pengajaran.


"Dalam situasi dimana ada ramai orang, tahap keprihatinan manusia terhadap masyarakat amat kurang. Apabila ada orang memerlukan bantuan atau pertolongan, ramai yang menunggu orang lain untuk bertindak dahulu. Jika ini berlaku ramai yang akan memilih untuk mengutamakan kepentingan diri"


Seeloknya kita ambil iktibar daripada kenyataan ini. Walaupun tidak semua orang seperti yang dinyatakan tetapi perkara seperti itu masih berlaku. Mungkin kita secara sedar atau tidak sedar selama ini telah bersikap lebih mementingkan diri sendiri dan mengabaikan pertolongan terhadap orang lain. Bak kata ustaz Hasrizal, belajarlah memahami orang lain sebelum kita difahami. Dan dalam kita nak memahami orang lain, keprihatinan itulah yang memainkan peranan. Jika kita ternampak kawan kita terjatuh longkang, adakah kita ketawa dahulu ataupun kita terus pergi menolong dia? Jika kawan kita kelihatan memerlukan bantuan, adakah kita membantunya ataupun kita hanya pandai berkata-kata dan membiarkan orang lain yang menolongnya? Secara tidak langsung, tindak tanduk kita seharian mencerminkan keprihatinan kita. Bilamana kita mampu memahami orang lain, maka barulah kita layak untuk difahami.

Memahami yang disertakan dengan tindakan yang wajar

"Aku nak berubah"

Inilah keazaman yang patut kita ada sekarang jika selama ini kita lebih mengutamakan hal peribadi daripada cuba bersikap prihatin terhadap orang lain. Berubah dalam erti kata perubahan positif yang bukan sahaja merangkumi keprihatinan terhadap masyarakat bahkan terhadap diri, agama, keluarga, bangsa dan negara. Mulakan perubahan terhadap diri sendiri dahulu barulah perubahan itu akan tersebar kepada orang lain. Pernah suatu hari, mother Theresa disoal oleh seorang wartawan tentang tips untuk mencapai keamanan sedunia. Dengan spontan beliau menjawab

"Go back to your home and love your family"

take your time to think about this

Yang menulis ini hanya menyampaikan. Bukan semua yang ditulis ni diperoleh daripada tazkirah petang tersebut tetapi ada yang ditambah mengikut keselesaan penulis.hehe..Tetaplah ambil yang baik-baik dan yang buruk itu kita sama-sama jadikan sempadan.

Wassalam

Wednesday, 30 April 2008

Test mengejut

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji hanya layak ditujukan kepada Allah swt tuhan pencipta alam nyata dan ghaib. Syukur yang tidak terhingga kerana pada waktu ini, kita masih lagi dikekalkan dengan nikmat melihat yang barangkali tidak kita sedari akan kenikmatannya. Sedar tidak sedar, rupa-rupanya ada orang lain di atas muka bumi ini yang tidak dapat mengecapi nikmat penglihatan. Dan banyak lagi nikmat-nikmat yang kita dapat yang sepatutnya kita syukuri dalam setiap amal perbuatna kita seharian InsyaAllah.

Aku baru sahaja habis kelas fizik tadi. Dengan semangat yang berkobar-kobar untuk mencurahkan ilmu kepada rakan-rakan(aku kena wat presentation pasal quantum fizik), alangkah terkejutnya aku dan rakan2 apabila kak lina menukar perancangannya iaitu untuk mengadakan test paper 5. Dalam keadaan yang kurang bersedia, aku dan rakan-rakan terpaksa melalui 2 blok pagi ni memrah otak menjawab soalan-soalan praktikal eksperimen. Suasana kelas agak tenang kerana semua orang bersikap serius menjawab paper tersebut. Alhamdulillah sekali lagi kerana walaupun dalam keadaan kurang preparation, kami semua berjaya menjawab test tersebut dalam jangkamasa yang ditetapkan. Semua orang kelihatan puas hati apabila berjaya menghabiskan soalan yang dikemukakan.


Jika nak diaplikasikan dalam kehidupan seharian, memang banyak perkara yang akan berlaku di luar jangkaan kita. Kita tidak akan dapat menyangka apa yang akan berlaku melainkan apa yang telah diberitahu oleh Allah dalam Al-Quran. Perkara-perkara yang datang secara tiba-tiba ni memerlukan kita membuat persiapan bagi menghadapi apa-apa kemungkinan. Perkara yang tidak dijangka itu bakal membawa seribu satu kesan kepada yang menerimanya. Adakalanya membawa kegembiraan, kesenangan dan kemudahan dan adakalanya pula mengundang keresahan,kesedihan dan kemurungan. Hanya yang betul-betul bersedia yang mampu menghadapi setiap kemungkinan dengan hati yang tenang.

Aku terpaksa berhenti menulis sebab ada fokus terganggu(Zaim n Kerol menyerbu masuk ITLab ni). Sebenarnya Kerol blom tahu kewujudan blog aku ni.hehe..



Wahai orang-orang yang beriman,
bersedialah dan berjaga-jagalah (sebelum kamu menghadapi musuh), kemudian (bila dikehendaki) maralah (ke medan perang) sepuak demi sepuak, atau (jika perlu) maralah serentak beramai-ramai.


Wassalam

Friday, 25 April 2008

Cerita


Sekadar ingin berkongsi satu cerita. Pengajaran dan Hikmah yang terdapat dapat cerita ini diharap bermanfaat buat semua yang membaca. :)

Ada seorang budak lelaki ni diberi bekal sebungkus biskut Tiger oleh emaknya sebagai bekalan buat dirinya ketika berada di sekolah. Budak ini begitu senang hati dengan bekalan itu kerana biskut tersebut memang merupakan kegemarannya. Perasaan mendapatkan sesuatu yang begitu diidami memang tidak dapat digambarkan dengan kata-katanya. Dengan hati yang senang, dia menyimpan biskut tersebut di dalam beg sekolahnya dengan harapan dapat menikmatinya sewktu rehat nanti.

Ketika di sekolah, satu perkara yang tidak diharap olehnya telah berlaku. Dia mendapati bahawa begnya telah diselongkar sewaktu dia keluar ke tandas. Apabila diperiksa, alangkah sedihnya dia apabila 'hartanya' dikebas orang. Puas dia memerhati orang disekelilingnya untuk mengenalpasti si pesalah, namun tiada sesiapa yang layak dicurigai.


Tanpa berputus asa, dia keluar kelas dan cuba mencari orang yang menyelongkar begnya. Dia bertuah apabila mendapati ada seorang budak lelaki sedang memakan biskut Tiger di tepi padang. Dengan penuh yakin, dia amat pasti bahawa budak itulah yang telah mencuri makanannya.

Kalau aku tanya dia, mesti dai takkan mengaku. Lebih baik aku laporkan kepada cikgu disiplin. Biar padan muka dia


Tanpa berlengah lagi, dia bergegas ke bilik guru disiplin sekolahnya. Kebetulan cikgu itu sedang meronda-ronda ibarat sedang mencari kesalahan disiplin para pelajar. Budak lelaki tersebut menghampiri cikgu tersebut

Cikgu Borhan, ada orang curi makanan saya

Apa kamu nak saya buat kepada dia

Saya nak cikgu hukum dia. Dia dah melampau cikgu. makanan tu kegemaran saya. mak saya yang bagi makanan tu.

Siapa yang mengambil makanan kamu tu?

Syafiq cikgu. Dia budak sekelas dengan saya tapi saya tak pernah berkawan dengan dia.

Ok macam ni. Esok kamu minta lagi makanan tu daripada ibu kamu dan kamu ajaik Syafiq makan bersam kamu. Ikut saja arahan saya ni.

Baiklah cikgu.


Pada keesokan harinya, budak tersebut melakukan seperti apa yang diarahkan oleh guru disiplin itu. Semasa sedang menikmati makanan tu, budak lelaki yang mencuri biskut Tigernya semalam memulakan bicara

Mad, aku nak mintak maaf sebab akulah yang telah mencuri biskut ko semalam.Aku sebenarnya sangat lapar dan aku tidak mempunyai wang untuk membeli walau sedikit makanan.

Xpelah Syafiq, aku dah pun maafkan ko. Lain kali beritahu je kat aku kalo ko nak biskut aku tu. Aku bukan kedekut sangat dengan orang.

Baiklah. Boleh tak kita jadi kawan bermula hari ni.

Boleh..lepas ni kita makan sama-sama lagi.


Akhirnya mereka berdua menjadi rakan. Cikgu disiplin memerhatikan sebuah permulaan kepada persahabatan yang mulia dari jauh.

Itulah sahaja kisah yang ingin aku kongsi bersama. Sebenarnya cerita ni pernah dijadikan modal tazkirah aku pada waktu dulu. Sekarang biarlah cerita ini aku semadikan dalam blog ni agar yang terlupa dapat diingatkan kembali dan yang masih ingat akan terus ingat. Pengajaran daripada kisah diatas bolehlah difikirkan sendiri. Bukankah perspektif orang berbeza-beza. Apa yang penting adalah yang baik itu kita ambil jadikan teladan dan buruk itu kita jadikan sempadan.