Tuesday, 13 May 2008

3 Jawapan 1 soalan

بسم الله الرحمن الرحيم

Sebuah cerita ringkas yang ingin aku kongsi bersama hasil daripada kursus MYC yang lalu.

Tiga orang tukang cat sedang sibuk mengecat sebuah rumah. Datanglah seorang menyoal ketiga-tiga tukang cat ini satu soalan yang sama. Soalannya berbunyi apa yang kamu sedang buat?

Soalan yang begitu ringkas, padat dan jelas. Namun jawapan yang diberikan oleh ketiga-tiga tukang cat tadi amat berbeza walaupun secara dasarnya sama. Tukang cat pertama menjawab dengan nada marah

"Tak nampak ke aku tengah cat rumah ni. Takkan aku tengah berjogging pulakkk".

Tukang cat kedua pula menjawab dengan selamba

"aku sedang mengecat rumah tuan aku. Siap kerja ni nanti aku kan dapat gaji untuk menyara keluarga aku".

Tukang cat ketiga menjawab dengan gembira

"Aku sedang mencantikkan rumah ini. Rumah ini akan dijadikan rumah anak yatim dan inilah yang mampu aku sumbangkan. Aku nak anak-anak yatim tu nanti dapat hidup dengan aman di sini"

http://www.buildinggreentv.com/files/u5/paint_can.jpg

Ada tiga situasi berdasarkan cerita di atas. Tukang cat pertama yang menjawab dengan marah seperti tidak menyukai kerjanya sebagai tukang cat. Kerja yang dilakukanya seakan-akan tidak ikhlas dan atas dasar terpaksa. Tukang cat yang kedua yang menjawab dengan selamba pula seperti melakukan kerja atas sebab tanggungjawab yang perlu dia tunaikan. Dia menyedari tanggungjawabnya sebagai pencari nafkah untuk keluarganya dan berusaha menunaikannya. Tukang cat ketiga yang menjawab dengan hati yang gembira seperti sangat menyukai kerjanya. Bukan sekadar sebagai tanggungjawabnya bahkan atas dasar ingin membantu orang lain. Dia ingin melihat kebahagiaan orang lain dan melakukan kerjanya dengan bersungguh-sungguh.

Kita boleh aplikasikan kisah di atas dengan kehidupan kita sebagai pelajar. Dimanakah tahap kita sekarang? Adakah kita belajar sekarang ini atas dasar terpaksa. Ataupun kita belajar sekarang ini atas dasar tanggungjawab terhadap biasiswa yang diterima semata-mata. Ataupun kita belajar kerana kita ingin memberikan sesuatu kepada keluarga,masyarakat, agama dan negara suatu hari nanti. Kita nilai semula. Jika niat kita seperti tukang cat yang ketiga, adakah kita bersungguh-sungguh belajar. Bagaimana kehadiran kita ke kelas, selalu awal ataupun lambat.

Jika kita hidup hanya sekadar untuk meneruskan kehidupan, apakah erti hidup ini. Andai kita hidup hanya untuk menerima, siapa pula yang akan terus memberi. Biarlah kita yang menjadi pemberi kerana tangan yang di atas itu lebih baik dari tangan yang di bawah. Carilah erti hidup pada memberi. Apabila seorang ibu memberi permainan kegemaran anaknya, kita saksikan si anak melonjak riang. Tetapi hakikatnya si ibu itulah yang lebih gembira tatkala dapat meraikan anaknya. Memberi bukanlah semata-mata berbentuk material tetapi kasih sayang dan nasihat itu juga merupakan pemberian.

Jika sebelum ini kita sering menjadi orang yang diraikan, usahakan supaya selepas ini kitalah yang menjadi orang yang meraikan.

Moga bermanfaat

Wassalam

No comments:

Post a Comment