Tuesday, 6 May 2008

Prihatin

بسم الله الرحمن الرحيم

Tazkirah ringkas selepas Asar beberapa hari yang lalu menarik perhatian aku. Muzakkir pada petang itu, saudara Syafiq Special Ed telah berkongsi ilmu berkenaan prihatin terhadap masyarakat. Input yang terkandung dalam tazkirah beliau amat berkait rapat dengan kehidupan seharian kita dan amat rugilah kalau tiada langkah menyebarkan isi-isi tazkirah itu kepada orang lain yang tidak berkesempatan untuk mendengarnya secara live.

Kalau tak silap, Syafiq mendapat ilham setelah dia teringatkan segmen dokumentari popular di TV3 iaitu 360 Degree. Dalam segmen tersebut, krew rakaman 360 Degree telah melakukankan eksperimen di 4 tempat berbeza dengan satu tujuan yang sama iaitu untuk mengenalpasti tahap keprihatinan masyarakat di Malaysia terhadap masyarakat sekeliling.

Salah satu eksperimen yang dapat aku ingati adalah situasi dimana kelibat seorang yang buta matanya ingin melintas jalan raya yang agak sibuk. Sang pelakon watak si buta disuruh berdiri di tepi jalan seolah-olah memerlukan bantuan daripada orang lain untuk jalan. Secara teorinya, akan ramailah orang yang tidak keberatan untuk menolong si buta ni. Namun realitinya, alangkah sedihnya apabila begitu ramai orang yang hanya menyaksikan gelagat si buta tadi tanpa tergerak hati mereka untuk sekurang-kurangnya membantu si buta itu. Budaya tolong-menolong yang sering diuar-uarkan di kaca televisyen selama ini seolah-olah tidak memberi apa-apa kesan kepada masyarakat. Mujurlah ada seorang berbangsa Cina yang baik hati menolong si buta tadi melintas jalan raya itu.



Tiga lagi eksperimen yang dilakukan di tempat berbeza pada dasarnya sama seperti yang dilakukan di jalan raya tadi. Jadi tak perlulah aku untuk menceritakan yang lain itu. Setelah adegan-adegan 'biasa' itu disaksikan, maka terbitlah satu konklusi yang sepatutnya kita ambil pengajaran.


"Dalam situasi dimana ada ramai orang, tahap keprihatinan manusia terhadap masyarakat amat kurang. Apabila ada orang memerlukan bantuan atau pertolongan, ramai yang menunggu orang lain untuk bertindak dahulu. Jika ini berlaku ramai yang akan memilih untuk mengutamakan kepentingan diri"


Seeloknya kita ambil iktibar daripada kenyataan ini. Walaupun tidak semua orang seperti yang dinyatakan tetapi perkara seperti itu masih berlaku. Mungkin kita secara sedar atau tidak sedar selama ini telah bersikap lebih mementingkan diri sendiri dan mengabaikan pertolongan terhadap orang lain. Bak kata ustaz Hasrizal, belajarlah memahami orang lain sebelum kita difahami. Dan dalam kita nak memahami orang lain, keprihatinan itulah yang memainkan peranan. Jika kita ternampak kawan kita terjatuh longkang, adakah kita ketawa dahulu ataupun kita terus pergi menolong dia? Jika kawan kita kelihatan memerlukan bantuan, adakah kita membantunya ataupun kita hanya pandai berkata-kata dan membiarkan orang lain yang menolongnya? Secara tidak langsung, tindak tanduk kita seharian mencerminkan keprihatinan kita. Bilamana kita mampu memahami orang lain, maka barulah kita layak untuk difahami.

Memahami yang disertakan dengan tindakan yang wajar

"Aku nak berubah"

Inilah keazaman yang patut kita ada sekarang jika selama ini kita lebih mengutamakan hal peribadi daripada cuba bersikap prihatin terhadap orang lain. Berubah dalam erti kata perubahan positif yang bukan sahaja merangkumi keprihatinan terhadap masyarakat bahkan terhadap diri, agama, keluarga, bangsa dan negara. Mulakan perubahan terhadap diri sendiri dahulu barulah perubahan itu akan tersebar kepada orang lain. Pernah suatu hari, mother Theresa disoal oleh seorang wartawan tentang tips untuk mencapai keamanan sedunia. Dengan spontan beliau menjawab

"Go back to your home and love your family"

take your time to think about this

Yang menulis ini hanya menyampaikan. Bukan semua yang ditulis ni diperoleh daripada tazkirah petang tersebut tetapi ada yang ditambah mengikut keselesaan penulis.hehe..Tetaplah ambil yang baik-baik dan yang buruk itu kita sama-sama jadikan sempadan.

Wassalam

No comments:

Post a Comment