Monday, 12 May 2008

Sahabat kita

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji hanya layak bagi Allah swt

Akhir-akhir ni, banyak kali terdengar orang memperkatakan tentang sahabat atau kawan. Tak kiralah samada pada sesi-sesi tazkirah Subuh dan Asar ataupun di chalet-chalet. Dan yang paling merasai perkara ini hanya para senior. Mungkinkah kerana teringatkan bahawa tempoh bersama kawan-kawan di sini semakin singkat justeru nilai persahabatan yang terbina selama lebih kurang dua tahun itu lebih terasa.

Jika diimbas kembali, bagaimanakah kita mendapat sahabat? Berdasarkan pengalaman yang cetek ni, persahabatan terbina melalui rakan sekelas, rakan sepermainan, rakan sekampung, rakan sekegemaran dan sebagainya. Ada yang kekal lama dan ada pula yang terkandas. Bagaimana untuk mendapatkan persahabatan yang sejati? Persoalan ini mungkin terjawab apabila kita sedar kepada apa kita sandarkan persahabatan kita.




eringat kata-kata saudara Iqtidar semasa tazkirahnya yang lalu, dia melontarkan tajuk ukhuwwah kerana Allah. Ya, andai persahabatan kita selama ini hanyalah disandarkan kepada perkara-perkara keduniaan nescaya ianya tidak akan berkekalan kerana semua makhluk itu bersifat binasa. Persahabatan yang disandarkan pada kehebatan bermain ping pong akan musnah andai sahabat itu tidak lagi pandai bermain ping pong. Begitu juga persahabatan yang disandarkan atas sebab satu tempat belajar, akan hilang jika berpindah ke tempat belajar yang lain. Jika inginkan persahabatan itu kekal dan menjadi suatu yang bermakna, sandarkanlah ukhuwwah atau persahabatan yang terjalin itu kepada Allah swt.

Sempat saudara Hazim bertanya, bagaimana untuk bersahabat kerana Allah? Bagi aku, apa yang mendekatkan diri kita kepada Allah melalui sahabat, itulah yang dimaksudkan dengan persahabatan kerana Allah swt. Saudara Aidid lantas memberi contoh seorang kawan yang bersaing dengan kawannya yang lain dalam mendapatkan keputusan yang lebih baik dalam peperiksaan. Mungkin secara lahiriahnya kita melihat betapa dengkinya kawan itu terhadap kawannya tetapi hakikatnya inilah yang disarankan oleh Allah swt yang menyuruh hambaNya bersungguh-sungguh melakukan suatu pekerjaan.

Entah berapa ramai sahabat yang dahulunya begitu rapat dengan kita seolah-olah menjauhkan diri daripada kita sekarang. Apabila tiba di tempat baru, kawan lama dilupakan, kawan baru diutamakan. Malah perkara ini menjadi kebiasaan bagi kita dan menganggap ini sebagai lumrah alam. Mungkin sekarang kita tak dapat merasai kerugian 'kehilangan' sahabat namun sedarlah suatu hari nanti kita akan merasainya jika sekarang kita bersikap acuh tak acuh dalam bersahabat.




Contoh yang dekat, di kolej ini. Kita selalu pergi makan bersama, ke surau untuk solat bersama, malah bermain bersama sahabat kita. Sehinggakan perkara sebegini begitu sebati dalam kehidupan seharian kita. Namun, dalam tak sampai dua bulan sahaja lagi, semua itu bakal disimpan menjadi kenangan seperti yang pernah kita buat selama ini. Kita akan tamat pengajian dan akan menuju ke suatu tempat belajar yang baru. Semua perkara yang biasa kita lakukan bersama sahabat di kolej ni tidak dapat lagi kita nikmatinya. Saat inilah nilai bersama sahabat itu kuat dirasai. Rasa ingin bersama sahabat muncul tatkala berseorangan di rumah ataupun sendirian di perantauan. Segala kenangan lalu cuba diingati agar memori lama tersemat kembali. Apakan daya jika perkara itu sudah berlalu. Menyesal pun sudah tidak berguna lagi.

Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).

Masa yang tinggal ni, kita gunakanlah dengan sebaiknya. Hargai sahabat kita sebagaimana kita hargai diri kita. Bukankah kita perlu menghargai orang terlebih dahulu untuk kita dihargai. Jika persahabatan yang terbina selama ini disandarkan kepada suatu yang bersifat makhluk, sama-samalah kita ubah menjadi persahabatan kerana Allah swt. Memang sukar untuk menjadikan persahabatan sebegini tetapi yakinlah yang sukar inilah yang lebih berharga disisi Allah swt. Allah tidak memandang natijah perbuatan kita tetapi yang Allah perhatikan adalah usaha yang kita lakukan dalam perbuatan kita.

Peringatan ini khas buat diri dan sahabat

Wassalam

No comments:

Post a Comment