Friday, 9 May 2008

Indahnya aturan Tuhan

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji hanya layak bagi Allah swt

Banyak blok aku free hari ni. Hanya kelas fizik sahaja yang aku perlu hadirkan diri hari ni, itupun pada awal pagi tadi. Kelas statistics memang dijadualkan cuti pada setiap hari jumaat minggu pertama. Alangkah selesanya aku hari ni. :)

Dalam kelas fizik tadi, ada satu benda baru yang baru aku sedar tadi. Walaupun perkara ni sepatutnya aku sedar tetapi terima kasih kepada saudara Aizat atas pembentangannya di kelas tadi. Aizat membentangkan tajuk application iaitu Magnetic Resonance Imaging(MRI). Bagi kebanyakan pelajar fizik, tajuk ni bukanlah satu benda baru. Untuk pengetahuan, MRI adalah salah satu alat perubatan masa kini yang digunakan untuk mengkaji struktur dalam badan manusia tanpa perlu menjalankan pembedahan. Penggunaan MRI merupakan salah satu daripada non-invasive technique yang digunapakai dalam bidang perubatan masa kini. Jika nak dibandingkan dengan pembedahan, risiko menggunakan MRI amat rendah dan kadar keselamatan amat tinggi.

salah satu kegunaan MRI

Semasa khusyuk mendengar ulasan Aizat tentang prinsip MRI, iaitu tentang bagaimana MRI berfungsi, bagaimana atom-atom boleh berputar, apa syarat untuk berlakunya precession, sebab penggunaan uniform dan non-uniform magnetic field, tiba-tiba perhatian aku tertarik apabila Aizat tiba-tiba mengeluarkan ayat

"Disebabkan terdapat begitu banyak atom Hidrogen dalam badan manusia, maka MRI dapat digunakan ke atas manusia. Hidrogen merupakan antara salah satu atom yang mempunyai bilangan proton dan neutron dalam angka ganjil yang menyebabkan ianya mampu berputar dan seterusnya menepati syarat berlakunya precession."

Aku berfikir sejenak, apakan jadi jika ditakdirkan dalam badan manusia hanya terdapat sedikit atom hidrogen? Sudah tentu MRI tidak dapat digunapakai terhadap manusia. Maka rugilah salah satu daripada kemajuan teknologi perubatan yang sedia ada ini. Mungkin pembedahan akan terus menjadi pilihan utama untuk mengkaji struktur dalaman manusia dalam mengenalpasti punca penyakit dan sebagainya. Dan risiko kehilangan nyawa amat tinggi. Ternyata semua ini tidak terjadi dengan sia-sia. Indahnya ketetapan yang Allah swt turunkan ke dunia ini. Semuanya mengikut sunnatullah. Tiada yang dijadikan Allah swt itu sia-sia melainkan ada tujuan dah hikmah yang terkandung disebaliknya.

Benarlah firman Allah swt dalam Al-Quran yang berbunyi



(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.
~surah ali-Imran : 191~


Ini hanyalah salah satu bukti daripada begitu banyak kekuasaan Allah swt. Beruntunglah orang yang mempelajari biologi dan kimia pada waktu ini kerana dapat menyaksikan banyak benda yang kebanyakan orang tidak dapat melihatnya. Lumrah manusia, benda yang sering dilihat tidak mampu memberikan kesedaran kepadanya betapa Allah swt itu maha kuasa namun apabila terlihat suatu benda yang jarang dilihat, akan terbitlah sinar keyakinannya terhadap kekuasaan Allah swt.

Kita gunakanlah pancaindera yang Allah swt berikan percuma kepada kita untuk meningkatkan keyakinan kita kepada kebesaran Allah swt. Begitu banyak bukti yang Allah sediakan untuk kita mendapat keyakinan itu. Bukan kita tidak tahu tetapi cuma kita kadangkala tidak menyedari hakikat ini.

Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.
~surah al-hajj : 46~


Harapan kita semua agar ilmu yang kita pelajari selama ini bermanfaat kepada kita dan orang sekeliling kita. Mungkin kita tidak dapat melihat 'manfaat' ilmu itu tetapi yakinlah jika ilmu-ilmu itu kita salurkan kepada jalan yang tidak membawa murka Allah, nescaya ada manfaat yang akan tersebar.

Wassalam

No comments:

Post a Comment