Monday, 5 May 2008

Kenapa Peluru

بسم الله الرحمن الرحيم

Untuk post kali ini, atas permintaan saudara Azri YB tempoh hari, aku ingin berkongsi perihal mengapa aku sering menggunakan gelaran peluru@bullet. Entah kenapa secara tiba-tiba ramai pula yang mengajukan soalan ini kepada aku. Mungkinkah selama ini aku tidak dipedulikan?haha..hanya tuhan yang tahu.

Sebenarnya perkataan peluru itu menjadi peringatan buat diri aku semasa menjadi pelajar sekolah menengah di Saina ataupun SEPOSEN. Sebagai seorang anak muda yang baru keluar dari kepompong Pulau Langkawi ke sebuah tempat bernama Pokok Sena, perbezaan keadaan persekitaran khususnya budaya pelajar telah banyak mengubah diri aku. Aku mula bergaul dengan budak-budak 'bandar' dan berbagai-bagai budaya baru telah disatupadukan dalam diri aku. Kehadiran bermacam-macam bentuk hiburan seperti komik,game dan internet telah melalaikan aku. Apa tidaknya, sebelum itu aku begitu jarang sekali berpeluang melakukan semua itu.

Nak dipendekkan cerita, antara hiburan yang berjaya melalaikan aku pada waktu itu adalah game. Aku antara orang paling aktif bermain counter strike dalam kalangan batch aku. Tidak cukup bagi aku jika hanya dapat bermain CS selama sejam. Sekurang-kurangnya mesti guna tiga jam. Itulah pendirian aku masa itu. Dalam keghairahan bermain CS bersama rakan-rakan yang lain, mereka dapati bahawa aku sering menggunakan nama samaran pelurusesat. Dari situlah salah seorang rakan aku mula memanggil aku sebagai peluru. Mungkin kerana bidikan aku tepat ke arah musuh dan team musuh aku sentiasa kalah. :)



Masa terus berlalu sehinggalah aku melangkah ke tingkatan 4. Ramai dikalangan rakan aku yang sebelum ini kerap bermain CS bersama aku mengundur diri kerana tekanan pelajaran yang mendesak mereka menumpukan lebih perhatian. Aku tidak terkecuali. Aku mula sedar betapa selama ini begitu banyak masa yang telah aku bazirkan untuk 'berhibur'. Malah jika dihitung, jumlah wang yang telah aku habiskan semasa bermain game begitu banyak sehinggakan melebihi jumlah yuran SPM yang perlu aku bayar. Dari situ terbitlah satu keinsafan yang mengubah diri aku. Aku mula mengurangkan kekerapan bermain game. Jujurnya, memang aku tak mampu untuk terus berhenti bermain game especially CS pada waktu itu kerana itulah sumber hiburan aku. Untuk menjadi motivasi buat diri, aku tidak membuang gelaran peluru begitu sahaja malah terus menggunakan gelaran itu dengan harapan perkara yang sama tidak aku ulangi.

Nasihat aku kepada penggemar-penggemar game, cubalah kurangkan kekerapan kita bermain game kerana tidak banyak manfaat yang akan kita dapat dengan cara itu. Aku akui game seperti Red Alert, Warcraft mahupun Winning Eleven mampu menguji kebijaksanaan kita dalam mengatur strategi namun berbaloikah menghabiskan begitu banyak masa semata-mata untuk tujuan itu sedangkan begitu banyak lagi cara yang ada untuk mencapai matlamat yang sama. Ops, jangan salah faham, aku bukan mengajak kita supaya berhenti daripda bermain game tetapi cukuplah bermain game sekadar untuk menghiburkan hati sekali-sekala. Ada orang yang mampu berhibur hanya dengan bermain game dan ada pula orang yang perlu bermain game untuk menyelesaikan suatu masalah. Hendaklah diingat bilamana kita menghiburkan diri, jangan sampai kita lupakan tanggungjawab kita. Yang utama patut kita utamakan dahulu tidak kira terdesak macammana sekalipun kita untuk berhibur.

Berhibur tiada salahnya
Kerna hiburan itu indah
Hanya pabila salah memilihnya

Membuat kita jadi bersalah


Semoga pengalaman lepas diri aku ini memberi manfaat kepada yang setia membaca. Jika ada kandungan cerita di atas menyinggung perasaan sesiapa, maaf aku pinta. Yakinlah bahawa ujian-ujian yang Allah swt berikan kepada kita semuanya adalah untuk kebaikan kita juga. He knows the best for us!

Wassalam

No comments:

Post a Comment